Saarani (tiga kanan), menyerahkan cenderahati kepada Arham (tiga kiri), pada MIDA Invest Series – Perak, di MIDA Sentral.- Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!
KUALA LUMPUR – Misi promosi pelaburan kerajaan negeri Perak ke China minggu lalu berjaya mencapai matlamat apabila menerima pelaburan baharu berjumlah RM34 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, misi tersebut menyaksikan kejayaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan dagang strategik syarikat gergasi automotif China, Geely melibatkan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim bernilai RM32 bilion.
Selain itu beliau berkata, delegasi kerajaan negeri ke China juga berjaya mengukuhkan lagi kerjasama dengan syarikat pelabur China, Zhejiang Sinopont Technology melibatkan pelaburan bernilai RM2 bilion untuk penghasilan enkapsulasi filem di Ipoh sekali gus menjadi fasiliti pengilang pertama di Asia Tenggara.
“Persekitaran ekonomi yang positif sepanjang tahun lalu turut menyumbang kepada pasaran kerajaan yang lebih memberangsangkan dengan lebih banyak peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam pelbagai sektor industri.
“Malah misi promosi pelaburan dari 15 hingga 21 November lalu turut menyaksikan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menandatangani MoU dengan syarikat inkubasi dan inovasi keusahawanan terkemuka China, Shanghai TusStar Business Incubator bagi menjadikan Perak sebagai destinasi ideal untuk usahawan inovatif dengan potensi pertumbuhan kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Invest Series – Edisi Perak anjuran Malaysian Investment Development Authority (MIDA) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman.
Saarani berkata, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak juga meneroka potensi kerjasama dengan syarikat Rare Earth Group Co. Ltd (CREG) berpangkalan di Nanning bagi teknologi terkini pengasingan unsur nadir bumi serta proses rehibilitasi atau pemuliharaan tapak industri tersebut.
“Dengan kestablian politik yang kukuh selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kami dapat menyediakan perancangan pembangunan yang jelas melalui Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Melalui pelan tersebut juga dapat dilihat pasaran buruh Perak terus kukuh pada tahun 2022 dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.8 peratus daripada 4.5 peratus tahun sebelum ini,” katanya.
Sumber : Kosmo Online