Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Setiap Jumaat pertama November adalah cuti umum Hari Keputeraan Sultan Perak. Pada tahun ini, ia jatuh pada hari ini, sekali gus menandakan usia pemerintahan baginda sebagai Raja Pemerintah Perak Darul Ridzuan melewati sembilan tahun.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah adalah putera sulung Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang dimasyhurkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Perak Ke-35 pada 29 Mei 2014.
Kewujudan Kesultanan Melayu Perak sejak 1528 adalah satu tempoh panjang. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 tidak mematikan semangat ‘alam beraja’ dalam kalangan masyarakat Melayu.
Kini, hampir 500 tahun kesultanan Melayu bertapak di Perak. Malah kewujudan Kesultanan Melayu Perak daripada susur galur Raja-Raja Melaka membuktikan legasi ini terus bertapak kukuh di Tanah Melayu bersama-sama institusi kesultanan di negeri lain.
Sejarah mencatatkan pelbagai peristiwa suka duka ditempuhi Kesultanan Melayu Perak sebelum wujudnya Raja Berperlembagaan. Perang Larut I (1861-1862), Perang Larut II (1865), Perang Larut III (1871-1872), Perjanjian Pangkor (1874), pembunuhan Residen British pertama Perak (1875), isu Tanah Rizab Melayu Perak (1913) dan misi kemerdekaan Tanah Melayu (1957) serta memelihara kedudukan Islam di Perak jelas memperlihatkan peranan besar Raja Pemerintah kepada negeri dan rakyat.
Pendek kata, apa sahaja ranjau dan duri akan ditempuh dan diselesaikan dengan penuh bijaksana demi menjamin kesejahteraan rakyat.
Sempena sambutan Hari Keputeraan pelbagai acara diatur kerajaan Perak sebagai menjunjung kasih dan taat setia rakyat kepada baginda. Kesediaan baginda mencemar duli dalam pelbagai program diatur menandakan tiada tembok pemisah antara Raja Pemerintah dengan rakyat.
Antaranya, Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di setiap masjid di Perak, Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) dan pengurniaan darjah kebesaran serta pingat kepada mereka berjasa kepada masyarakat, negeri dan Malaysia.
Selain itu, institusi sukarela masyarakat misalnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Orang Besar Jajahan (OBJ) perlu berganding bahu menyusun program boleh mendekatkan rakyat dengan Raja Pemerintah.
Begitulah juga program menyemai ketaatan kepada Raja Pemerintah oleh institusi pendidikan terutama peringkat sekolah dan pengajian tinggi perlu diatur dengan sistematik sepanjang sambutan bulan keputeraan baginda.
Hal ini bertepatan dengan titah baginda ketika Perasmian Seminar Kesultanan Perak dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh pada 17 Oktober 2019, “Pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja wajib dirakyatkan kerana pada asal usulnya, raja itu diangkat ke takhta, didaulatkan dan ditabal oleh rakyat.”
Idea jadi panduan
Suatu keistimewaan Sultan Nazrin ialah keupayaan baginda menzahirkan idea bernas melalui titah baginda. Sehingga kini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan dua buku berprestij, iaitu Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 2021 dan 2023.
Idea baginda didokumenkan ini akan menjadi rujukan dan panduan kepada pelbagai pihak merentasi ideologi politik, agama dan kaum di negara ini. Bahkan titah baginda sering dipetik media secara langsung dan menjadi tajuk utama media cetak mahu pun penyiaran.
Meneliti beberapa titah baginda, ternyata ketrampilan dan kewibawaan Raja Pemerintah berkelayakan doktor falsafah dalam bidang ekonomi, politik dan kerajaan daripada Universiti Harvard.
Titah baginda bersifat inventio bukan sahaja mencerminkan keperibadian baginda terhadap sesuatu isu berkaitan rakyat, malah menjadi fomula bagi merungkai sesuatu permasalahan dihadapi.
Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak, baginda sering berkias dan menggunakan bahasa halus dalam titah bersifat teguran.
Sebagai contoh, dalam usaha membanteras rasuah, baginda menggunakan analogi doktor merawat pesakit, manakala dalam konteks pembangunan insan baginda menukilkan analogi Tembok Besar China.
Sepanjang pemerintahan baginda, Perak terus menikmati keamanan dan kesejahteraan. Hubungan akrab baginda dengan pentadbiran negeri yang diterajui Yang Datuk Seri Saarani Mohamad dan dokongan pelbagai kepimpinan masyarakat membuahkan hasil positif, khususnya bagi mencapai misi Perak Sejahtera 2030.
Dalam hal ini, baginda bertitah agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak menjaga amanah dan tanggungjawab terhadap mandat serta kepercayaan diberikan rakyat.
Baginda juga menekankan peri pentingnya mengamalkan sifat ikhlas, jujur, adil dan saksama serta menjauhi sifat angkuh dan bongkak terhadap rakyat.
Sebagai Raja Pemerintah mementingkan perpaduan dan kedamaian, Sultan Nazrin juga prihatin terhadap perkara membabitkan isu agama, raja dan kaum (3R).
Hal ini dizahirkan melalui titah agar ‘segera dipersembahkan terus kepada pengetahuan’ baginda ketika Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-172 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Demikianlah sifat Raja Pemerintah yang meletakkan keutamaan kepada rakyat dalam pemerintahan baginda.
Dirgahayu Tuanku! Daulat Tuanku! Moga Allah rahmati dan berkati pemerintahan Tuanku.
Sumber : Berita Harian Online