Sze Yee (tengah) bersama Wendy (kiri) meletakkan tangan simbolik merasmikan pembukaan MATTA Fair Perak di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.
IPOH – Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yakin dapat mencapai sasaran sebanyak RM23 juta selepas mencatatkan jualan sebanyak RM10 juta pada hari pertama penganjurannya.
Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin Wen Ying berkata, pameran edisi ke-31 itu telah berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung setakat ini.
“Dengan kehadiran pengunjung yang memberangsangkan, kita dapat mencapai jualan dianggarkan RM10 juta pada hari pertama pameran.
“Kita percaya sasaran itu dapat dicapai jika berjaya mengekalkan momentum yang sama dengan penawaran menarik disediakan di lebih 100 reruai melibatkan lebih 30 organisasi termasuk Tourism Perak dan Tourism Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pembukaan MATTA FAIR Perak yang disempurnakan oleh Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee di sini pada Ahad.
Hadir sama, Presiden MATTA, Nigel Wong; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Nurmalis Musa.
Sementara itu, Sze Yee berkata, penganjuran MATTA Fair Perak ini dapat menarik minat orang ramai untuk terus melancong sama ada secara domestik atau antarabangsa menerusi agensi-agensi pelancongan yang berdaftar.
“Fokus utama kita adalah membangunkan lebih banyak produk tarikan pelancongan yang berbeza daripada destinasi lain.
“Kita akan memberi lebih perhatian kepada inisiatif dan agresif mempromosikan produk di negeri untuk menonjolkan keunikannya dari segi alam semula jadi, makanan, warisan dan budaya,” katanya.
Menerusi MATTA Fair ini, beliau menggalakkan penggiat industri pelancongan mengambil peluang untuk menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan utama sesuai dengan Tahun Melawat Perak 2024.
Sumber : Sinar Harian Online