TAIPING – Prestasi kutipan zakat perniagaan di Perak menunjukkan penurunan apabila sebanyak 25.7 peratus dicatatkan sehingga pertengahan Jun lalu berbanding sasaran RM50 juta bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, zakat perniagaan merupakan antara penyumbang terbesar negeri hanya mencatatkan kutipan sekitar RM12.85 juta.

Menurut beliau, trend penurunan itu berikutan pertumbuhan ekonomi negara masih perlahan susulan fasa pemulihan pasca pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada semua sektor termasuk kutipan zakat.

“Buktinya, prestasi kutipan zakat perniagaan yang mencatatkan rekod tertinggi pada tahun 2019 sebanyak RM58,853,530.45 menurun kepada RM49,546,823.58 (2020) kemudian menurun kepada RM 46,408,415.64 (2021) dan naik sedikit kepada RM46,788,232.67 tahun lalu.

“Namun begitu, pencapaian kutipan zakat secara keseluruhan sehingga Jun lalu hampir menyamai kutipan pada tahun 2022. Kita berharap sehingga

hujung tahun ini, kutipan zakat perniagaan dapat meningkat bagi membantu pencapaian keseluruhan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Ziarah Korporat 2023 MAIPk Daerah Larut, Matang dan Selama di sini pada Selasa.

Shahrul Azam berkata, MAIPk menggandakan usaha untuk memastikan syarikat-syarikat yang menjalankan operasi perniagaan di Perak dapat melaksanakan kewajipan zakat perniagaan bagi manfaat dan maslahah asnaf.

“Selangor mencatatkan kutipan tinggi kerana kebanyakan ibu pejabat syarikat ini beroperasi di sana dan zakat dibayar di sana sedangkan syarikat-syarikat cawangan ada di seluruh negara. Kita cuba bincang kalau ada syarikat beroperasi di negeri-negeri seharusnya zakat itu diagihkan sama.

“Kita menerima maklum balas yang baik, ada yang menyahut usaha ini dan ada yang dalam proses untuk dapatkan kelulusan dari ibu pejabat. Kita juga akan buat kunjung hormat dengan pemegang taruh bagi berkongsi dan meyakinkan mereka untuk membayar zakat di Perak,” katanya.

Tambah beliau, program dwi tahunan ziarah korporat MAIPk merupakan salah satu pendekatan untuk merakyatkan perkhidmatan tersebut.

“Kita melibatkan para pembayar zakat untuk turut sama dalam program-program agihan zakat bagi memberi peluang kepada mereka dan melihat sendiri agihan zakat kepada asnaf terpilih.

“Selain daripada menziarahi dan membina hubungan silaturahim, ziarah ini diharap mampu membuka ruang untuk bantuan atau sumbangan lain yang boleh diberikan memandangkan setiap agensi dan syarikat korporat mempunyai program tersendiri di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online