Peserta yang hadir pada pembentangan kajian kebolehlaksanaan LuMIC di Kuala Lumpur – NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Perak bersedia untuk menjadi hab penting di rantau ini bagi sektor perindustrian maritim Malaysia menerusi hasil penemuan daripada kajian kebolehlaksanaan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dalam kenyataan berkata, cadangan pembangunan itu dijangka dimeterai selepas kajian kebolehlaksanaan selesai pada awal 2025.

Kajian LuMIC itu, katanya dikendalikan oleh PKNPk dan Pelabuhan Antwerp-Bruges International (PoABI), dengan matlamat untuk menilai daya tarikan Perak dan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim.

“Projek LuMIC dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan tempatan yang bermakna, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di rantau ini.

“Kejayaan menyempurnakan kajian kebolehlaksanaan fasa pertama dengan geran bernilai 1.9 juta euro (RM9.5 juta) daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 2023 adalah sebahagian daripada usaha sama antara PKNPk dan PoABI untuk menilai prospek Perak dalam sektor pelaburan dan maritim, dan meningkatkan tahap keterhubungan antara Eropah dan Asia.

“Laporan ini dibentangkan oleh PoABI kepada pihak-pihak berkepentingan utama, termasuk wakil daripada kementerian Persekutuan, kerajaan negeri Perak, dan juga peserta-peserta industri tempatan dan antarabangsa dalam sektor maritim, pelabuhan, logistik dan perindustrian,” katanya.

Antara yang turut hadir termasuk Duta Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker; Duta Besar Republik Croatia ke Malaysia, Dr Ivan Velimir Starcevic; Duta Besar Republik Czech ke Malaysia, Juraj Koudelka; Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot.

Laporan terbabit memberi tumpuan terhadap enam bidang utama, iaitu metodologi kajian memanfaatkan kepakaran Malaysia dan rangkaian antarabangsa lembaga pelabuhan terkemuka Eropah, memastikan pendekatan yang mantap dan menyeluruh.

PKNPk dan POABI yang kedua-duanya adalah pihak berkuasa awam yang berpengalaman, akan membangunkan infrastruktur untuk menarik pelaburan dan menjana nilai bagi masyarakat.

Satu komponen penting metodologi adalah penubuhan Syarikat Pembangunan Kluster Pelaburan (PCDC) untuk memantau projek, dengan penglibatan penting POABI, bagi menjamin kelancaran komunikasi antara perancangan dan pelaksanaan operasi.

Keterhubungan Kajian ini mengenal pasti peluang untuk meningkatkan kecekapan pelabuhan Lumut dan mengubahnya menjadi sebuah hab logistik hijau, memanfaatkan lokasi strategik dan pelaburan Malaysia dalam infrastruktur pengangkutan di sepanjang Selat Melaka.

FDI Potensi FDI Malaysia daripada EU dalam sektor lestari membuka peluang bagi pertumbuhan ekonomi, dengan tumpuan terhadap pengangkutan lestari, tenaga hijau, inovasi dan perubahan daripada sektor huluan kepada industri pertengahan dan hiliran.

Perdagangan dan kargo Analisis aliran perdagangan dan kargo di rantau ASEAN, khususnya antara Malaysia dan EU, menjadi asas unjuran pertumbuhan masa depan dan tahap kebergantungan dalam rantaian bekalan EU.

Tadbir Urus Menanda aras terhadap amalan terbaik antarabangsa, kajian ini menilai rangka kerja peraturan dan institusi dalam sektor pengangkutan dan pelabuhan, mengenal pasti peluang bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan.

Peta hala tuju Berasaskan hasil kajian terdahulu, PKNPk dan PoABI akan melaksanakan inisiatif yang menepati matlamat EU-Global Gateway. Inisiatif ini melibatkan usaha bagi mendapatkan hasil penemuan penting daripada kajian terdahulu, menilai tahap keterhubungan, menentukan daya saing FDI, menganalisis aliran perdagangan dan kargo, dan mengkaji rangka kerja kerajaan dan institusi.

Sumber : Berita Harian Online