Mohd Thibroni menunjukkan cili yang ditanam menggunakan kaedah fertigasi. – Foto Mohd Thibroni
KUALA KANGSAR: “Jika bukan sebab dapat pinjaman modal daripada usahawan Perak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), saya mungkin sudah kecundang dalam bidang pertanian ini,” kata Mohd Thibroni Osman Sah.
Mohd Thibroni, 37, adalah graduan sarjana muda dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tetapi memilih menceburi bidang pertanian secara serius.
Beliau mengusahakan tanaman cili menggunakan kaedah fertigasi di kebun seluas 0.1 hektar di atas tanah milik keluarga di Kampung Rambai Tujuh, di sini.
Usahanya membuahkan hasil, namun di pertengahan jalan beliau diuji apabila negara berdepan pandemik COVID-19 pada 2020.
Akibat pandemik keadaan ekonomi tidak memberangsangkan dan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu menyebabkan komoditi cili yang dihasilkan sukar terjual.
“Ketika itu hasil kebun saya baru mula keluar namun tiada tempat untuk menjualnya dan semua pasar termasuk pasar borong semuanya tutup susulan PKP.
“Mujur, agensi kerajaan negeri terutama SADC dan Jabatan Pertanian banyak membantu saya untuk terus bertahan. Malah, pinjaman usahawan bernilai RM50,000 yang saya peroleh melalui Perak SADC, menyelamatkan perusahaan tani milik saya pada awal negara berdepan pandemik COVID-19,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Thibroni juga menerima Geran Pembangunan Luar Bandar RM5,000 selain geran melalui Program Agropreneur Muda, Jabatan Pertanian dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFI) sebanyak RM20,000.
Ia sekali gus membantunya memantapkan lagi pengeluaran hasil kebun melalui pembelian pelbagai peralatan dan barangan input yang membolehkannya berjimat dari segi pengeluaran modal pusingan.
Beliau berkata, turut membantunya adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berperanan sebagai perantara untuk kerajaan membayar hasil pertanian dibeli, ketika situasi kejatuhan harga di bawah harga lantai. Bantuan itu adalah bagi petani yang menyertai Rakan Pemasar Kontak Pemasaran (RPKP) FAMA.
Bercerita mengenai penanaman cili, Mohd Thibroni berkata beliau mampu menghasilkan pengeluaran cili dengan purata dianggarkan dua tan semusim bagi jangka tempoh antara enam hingga lapan bulan.
Menurutnya, pengeluaran cili di kebunnya yang membabitkan sebanyak 1,300 polibeg atau kira-kira 2,400 pokok cili, pernah mencecah sehingga tiga tan.
Bagaimanapun, ia turut bergantung kepada faktor seperti keadaan cuaca yang baik, selain penjagaan pokok yang mencukupi termasuk dalam hal seperti penggunaan baja, racun dan sebagainya yang mengikut masa ditetapkan.
“Mengenai nilai harga jualan keseluruhan semusim, secara dasarnya saya tidak boleh menyatakan jumlah secara terperinci memandangkan ia bergantung kepada keadaan di pasaran yang julat harga borong tidak menentu walau dalam sesuatu musim tanaman,” katanya.
Katanya, selain menjadi usahawan tani di bawah program Ladang Kontrak MAFI kendalian FAMA, beliau turut bergiat aktif dalam Koperasi Gabungan Usahawan Tani Kuala Kangsar Berhad yang juga banyak membantu dari segi bimbingan dan pemasaran.
Menyedari potensi penanaman sayuran seperti cili menggunakan kaedah fertigasi mampu membuahkan pendapatan lumayan, Mohd Thibroni menitipkan harapan besar supaya bidang pertanian diterokai, khususnya oleh orang muda atau belia.
Katanya, ia seiring titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang sering menekankan mengenai kepentingan keterjaminan atau sekuriti makanan.
“Pada masa sama, ia juga selari dengan flagship di bawah agenda Perak Sejahtera 2030, cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu mengenai Lembah Bakul Makanan Malaysia yang berkisar mengenai Sekuriti Makanan,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online