Razarudin

KUALA LUMPUR – Setiausaha Sulit Kanan Sultan Perak, Kolonel Norzahari Efandy Zakaria membuat laporan polis berhubung olahan satu klip video yang dibimbangi mengaitkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tujuan politik.

Dalam laporan di Balai Polis Travers, Brickfields di sini pada Sabtu, Norzahari memaklumkan telah menerima klip video itu menerusi WhatsApp yang merakamkan seorang wanita memetik satu bahagian kecil titah baginda pada 2013 yang menyentuh parti Pas.

“Laporan polis ini dibuat untuk melindungi nama baik Sultan Perak daripada dicemari mana-mana pihak untuk meraih laba politik,” katanya dalam laporan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan telah menerima laporan pada jam 6.30 petang Sabtu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Semakan mendapati, wanita yang cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video berkenaan ialah seorang pemimpin Muslimat Pas Melaka.

Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat Pas Melaka pada 11 November 2022.

Petikan video itu merupakan potongan rakaman titah Sultan Nazrin sempena Wacana Perpaduan Ummah, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Kuala Lumpur pada 19 Februari 2013.

Sultan Nazrin ketika itu ialah Pemangku Raja Perak dan bertitah mengenai isu perpaduan ummah melibatkan UMNO serta Pas sebagai dua kuasa politik Melayu dominan di negara ini.

Titah baginda, kedua-dua parti sudah hampir seimbang kuasanya, namun mengingatkan agar hak orang Melayu dan Islam tidak dipinggirkan dalam keghairahan mahu mendapatkan undi serta kuasa.

Sepanjang bertitah, Sultan Nazrin secara seimbang memuji Pas dan UMNO, selain menyentuh sejarah hubungan kedua-dua parti selari dengan titah bertajuk Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran.

Baginda turut menyampaikan hasrat bahawa jika dua kabilah politik Melayu yang saling berpengaruh iaitu Pas dan UMNO kembali bercantum seperti yang pernah berlaku di era Pas menyertai Barisan Nasional (BN), maka perpaduan ummah akan tercapai serta masalah perpecahan ummah akan selesai.

Semakan juga mendapati tiada kehadiran mana-mana pemimpin politik pada majlis tersebut selain pengurusan tertinggi DBP.

Sumber : Sinar Harian Online