Kata Ammar peserta memulakan eksplorasi dengan menikmati makan tengah hari di Dusun Organik Haji Idrus di Kampung Ara Panjang, Manong.
TAIPING: Pengamal media dibawa menyertai Program Lawatan Media Influencer Cuti-Cuti Malaysia Perak 2023 untuk meneroka produk-produk ekopelancongan, pelancongan minat khas dan gastronomi di sekitar Taiping, Kuala Kangsar dan Kerian.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar berkata program anjuran pihaknya selama tiga hari dua malam bermula Rabu lepas itu, melibatkan wakil media elektronik, penghasil kandungan serta pempengaruh media sosial.
“Program lawatan suai kenal tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan media bagi membantu mempromosikan produk-produk pelancongan domestik yang dilawati secara dalam talian, khususnya di media sosial.
“Antara lokasi yang diketengahkan dalam lawatan kali ini ialah pengalaman bermalam di Taiping Bamboo Resort yang terletak di dalam dusun durian di kaki Bukit Larut,” katanya pada Majlis Pelancaran Denai Konservasi Maxwell Base Camp, di Bukit Larut, di sini pada Jumaat.
Katanya peserta memulakan eksplorasi dengan menikmati makan tengah hari di Dusun Organik Haji Idrus di Kampung Ara Panjang, Manong.
“Di Taiping, mereka berpeluang bersantai di Taman Tasik Taiping serta menyertai aktiviti sukan lasak ATV yang menguji adrenalin di ATV Adventure Park Larut,” katanya.
Katanya peserta turut menyaksikan pelancaran Denai Konservasi di Maxwell Base Camp, Bukit Larut hari ini yang merupakan satu projek kelestarian yang mengutamakan biodiversiti, pemuliharaan alam semula jadi, pengurangan karbon serta kemampanan alam sekitar.
Selain itu, lokasi lain dikunjungi peserta ialah produk-produk ekopelancongan di sekitar Ban Pecah dekat Tanjung Piandang, termasuk menikmati hidangan istimewa mi udang dan kari ikan sembilang.
Beliau berkata program itu diharap dapat mengeratkan jalinan kerjasama bersama pihak media serta penggiat industri pelancongan tempatan, selain memberikan pendedahan mengenai produk-produk pelancongan di setiap destinasi yang dilawati.
“Menerusi publisiti yang diraih melalui penganjuran program ini, kita harap usaha ini dapat meningkatkan lagi permintaan orang ramai untuk melancong serta menjana ekonomi masyarakat setempat, sekali gus menyokong perencanaan sambutan ulang tahun ke-150 bandar Taiping dan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Sumber : Bernama Online