SITI NASRIAH (empat dari kanan) dan Robiah (depan, tengah) ketika mengikuti Latihan Modular Industri Urutan Holistik di NK Academy di Tapah baru-baru ini.
IPOH – Peluang menyertai program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di bawah NK Academy di Tapah berjaya dimanfaatkan oleh lebih 300 peserta kaum Hawa Program Latihan Modular Industri dan TVET Orang Asli bagi Kursus Spa dan Kecantikan sejak ia mula dikendalikan pada 2021.
Seorang peserta, Siti Nasriah Miswan, 33, dari Sitiawan berkata, dia yang kini bergelar juruterapi bertauliah mampu menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan selepas mengikuti kursus tersebut.
“Kursus kendalian NK Academy selaku pelaksana Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) itu menawarkan ilmu tambahan yang berguna bagi wanita yang mencari rezeki sebagai juruterapi.
“Banyak ilmu yang diperoleh menerusi kelas selama tiga minggu itu, antaranya kaedah urutan secara holistik, penjenamaan, pengurusan kewangan serta pemasaran.
“Alhamdulillah, pendapatan ketika ini kira-kira RM4,000 sebulan berbanding kira-kira RM800 ketika mula menceburi bidang ini,” kata pemilik Menawan Spa Confinement itu di sini semalam.
Seorang lagi peserta, Robiah Azir, 46, berkata, dia kini berupaya menabung setelah memperoleh antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan menerusi karier sebagai juruterapi di Manjung dan kawasan sekitarnya.
Pemilik Ruby Spa&Postnatal Care itu berkata, kemahiran urutan yang meningkat selepas mengikuti kursus ditawarkan NK Academy itu menjadi kekuatan baginya kerana ia menjamin kepuasan para pelanggan.
“Saya kini mampu menawarkan perkhidmatan tetapi urutan di rumah sendiri kerana telah mempunyai kelengkapan diperlukan bagi tujuan itu.
“Sebelum ini hanya melakukan secara bergerak (mobile) ke rumah pelanggan,” katanya yang memulakan khidmat terapi urutan tanpa meminjam dengan mana-mana pihak sebagai modal.
Pengasas NK Academy, Naziah Pir Khan berkata, kursus ditawar itu merupakan sebahagian program flagship Perak Sejahtera 2030 di bawah Koridor TVET Malaysia, yang mana pihaknya menjalankan tugas sebagai penyedia latihan mewakili Pasak.
“Kursus spa dan kecantikan salah satu bidang kemahiran yang ditawar dari pelbagai sektor industri, yang melibatkan peserta seluruh Perak,” katanya.
Sumber : Kosmo Online