Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri melepaskan peserta Program Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak Tahun 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, pada Ahad. – Gambar BERNAMA
IPOH: Proses pembaikan dan penyelenggaraan kuarters usang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Kampar dan Ipoh menjadi keutamaan buat Polis Perak dalam usaha memberi keselesaan kepada anggota.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, selain itu, penyelenggaraan fasiliti lain seperti lif turut akan diberikan perhatian sewajarnya bagi kemudahan anggota dan keluarga mereka.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi perhatian terhadap kebajikan anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia).
“Kita telah memperoleh peruntukan, kebanyakkannya akan digunakan untuk pembaikan kuarters dan lif kuarters untuk memberi keselesaan kepada warga PDRM Perak supaya mereka dapat memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kayuhan Mega Perpaduan PDRM Perak Tahun 2023 yang disertai 1,700 peserta terdiri daripada anggota polis, orang awam serta pasukan dari polis Betong, Thailand, di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Ahad.
Selain itu, katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Jabatan Logistik PDRM Perak untuk terus mengenal pasti sekiranya terdapat kerosakan kemudahan di mana-mana balai polis atau kuarters lain di negeri ini supaya pembaikan dan penyelenggaraan segera dapat dilaksanakan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk selenggara kemudahan agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) antaranya PDRM.
Kerajaan turut mengumumkan peruntukan tambahan RM200 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan lebih RM500 juta bagi menyelenggara Rumah Keluarga ATM dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN termasuk PDRM.
Sumber : Astro Awani Online