KORAT Extreme Park merupakan destinasi ‘wajib singgah’ terutama bagi peminat sukan lasak dan menjadi destinasi pelancongan baharu di daerah Perak Tengah.

KAMPUNG GAJAH – Di sebalik ketenangan kawasan kampung di sini, terdapat satu lokasi khusus bagi peminat sukan lasak ken­deraan pacuan empat roda (4×4).

Korat Extreme Park, Litar Motorcross & 4×4 di Sungai Tumboh di sini menjadi lokasi ‘wajib singgah’ peminat sukan itu untuk berkumpul seterusnya melakukan aktiviti secara bersama sejak dibuka pada tahun 2017.

Pengerusi Kelab Sukan Lasak bermotor Kampung Gajah (Korat), Mohd. Salim Abd. Rahman berkata, pelbagai program dianjurkan antaranya Korat Extreme Challenge 2022 di tapak seluas 4.8 hektar tersebut.

“Pelbagai aktiviti sukan lasak diadakan tidak terbatas kepada 4×4 sahaja. Kami turut menyediakan lima kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), dua buah motosikal scrambler dan empat buah 4×4.

“Bagi mereka yang ingin memandu kenderaan 4×4, tetapi tiada pengalaman, tiada masalah kerana kita boleh mengajar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, menjadi kelaziman bagi kelab 4×4 berkonvoi ke Korat Extreme Park bagi merapatkan ukhuwah sesama ahli.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah Zairina Noordin berkata, litar itu berpotensi menjadi lokasi pelancong di Perak Tengah khususnya bagi peminat sukan lasak.

“Sebelum ini, Kampung Gajah dikenali dengan sejarah dan wa­risan, kini kami mahu ketengahkan sukan permotoran,” katanya.

Langkah itu selari dengan Program Flagship 8: Agenda Perak Sihat Sejahtera yang dirangka bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam mengimbangi kerja dan kehidupan dalam menangani tekanan dan mengekalkan kesihatan.

Sumber : Kosmo Online