Muhammad Muizzudin (tengah) memberi penerangan mengenai model francais program peningkatan pendapatan melalui kios jagung manis ‘Sweet Kocorn’.

KANGSAR: Tidak hanya aktif dalam sektor pertanian demi kepentingan keterjaminan makanan negara, Koperasi Gabungan Usahawan Tani Kuala Kangsar (KOGAHAD) turut menyediakan model francais untuk golongan kurang berkemampuan memiliki perniagaan sendiri.

Bukan sahaja mengusahakan pelbagai tanaman di kebun seluas 11.3 hektar, di sini, termasuk kira-kira dua hektar diusahakan dengan tanaman jagung manis, KOGAHAD juga mewujudkan ekosistem perniagaan dengan model francais program peningkatan pendapatan melalui kios jagung manis ‘Sweet Kocorn’.

Pengerusi KOGAHAD, Muhammad Muizzudin Din, 32, berkata melalui model francais berkenaan, segala kelengkapan untuk membuka kios bagi memulakan perniagaan jagung manis ‘Sweet Kocorn’ adalah percuma, yang setakat ini diberikan kepada asnaf dalam kalangan belia sekitar Kuala Kangsar.

“Setakat ini, lima individu sudah dikenal pasti untuk dibantu melalui penyertaan dalam program peningkatan pendapatan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKP). Kami sasarkan seramai 25 individu membabitkan diri menerusi program berkenaan untuk tahun ini,” katanya.

Program peningkatan pendapatan di bawah kelolaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), turut menyediakan elaun permulaan RM1,500 sebulan untuk peserta.

Muhammad Muizzudin berkata, perniagaan jagung manis melalui kios itu pada asalnya diusahakan beliau sendiri sebelum diserahkan kepada koperasi selepas memikirkan tanggungjawab untuk berkongsi rezeki, selain membantu keluarga kurang berkemampuan.

“Melalui francais ‘Sweet Kocorn’, segala kelengkapan untuk membuka kios bagi memulakan perniagaan kami berikan secara percuma kepada keluarga berpendapatan kurang RM2,000 sebulan. Mereka hanya perlu menambah stok diambil secara terus daripada kami sahaja, tiada syarat lain.

“KOGAHAD juga bekerjasama dengan sebuah pusat latihan penyediaan dan pembuatan makanan di Ipoh sebagai pusat latihan perniagaan asnaf yang layak untuk model francais ‘Sweet Kocorn’ ini,” katanya kepada BH.

Proses sendiri kernel jagung

Katanya, KOGAHAD kini giat mengembangkan keluasan penanaman jagung manis jenis ‘The Hulk’ yang mula ditanam tahun lalu daripada dua hektar sedia ada kepada 3.64 hektar, dengan sasaran mencapai keluasan ditetapkan iu selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Ia susulan potensi tanaman itu yang mampu menaikkan industri di peringkat hiliran. Selain mengembangkan penanaman jagung manis, KOGAHAD juga antara lain membuka kilang pemprosesan kernel jagung manis, selain membeli jagung daripada peladang sekitar Perak secara ‘pertanian kontrak’.

“Jagung boleh diproses menjadi produk hiliran, malah KOGAHAD sudah boleh memproses sendiri kernel jagung. Batang pokok jagung pula kita proses bagi dijadikan makanan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing,” katanya.

Beliau menjelaskan, ekosistem perniagaan diwujudkan pihaknya mendapat pujian Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kerana bermula daripada proses tanaman hingga pengguna akhir termasuk aspek pengedaran, selain sebagai platform tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Agenda keterjaminan atau sekuriti makanan adalah antara satu ‘flagship’ di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, iaitu mengenai Lembah Bakul Makanan Malaysia, selain bertepatan ‘flagship’ Pembasmian Miskin Tegar 2025 menerusi pelan sama.

Sumber : Berita Harian Online