Saarani (tiga dari kanan) merasmikan kilang Smart Paint di Batu Gajah, hari ini -NSTP/Nur Amira Mohd Hedzer

BATU GAJAH: Kilang baharu Smart Paint Manufacturing Sdn Bhd milik Smart Asia Chemical Bhd di sini berjaya mewujudkan 200 peluang pekerjaan yang memberikan manfaat kepada penduduk sekitar Batu Gajah dan Seri Iskandar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembinaan kilang di kawasan perindustrian Bemban, Batu Gajah ini berupaya menggalakkan lagi aktiviti nilai tambah kepada penggunaan sumber mineral sedia ada yang banyak terdapat di Perak khususnya batu kapur atau kalsium karbonat.

“Sebelum ini, kilang Smart Paint membuka operasi di Johor tetapi mereka menggunakan sumber mineral dari Perak bagi penghasilan produk keluaran termasuk mengeluarkan pelbagai jenis cat hiasan berasaskan air dan salutan pelindung untuk kegunaan di rumah dan juga industri.

“Susulan itu, sayap pelaburan negeri Perak iaitu Perak Investment Management Centre (InvestPerak) mengambil langkah proaktif bagi meyakinkan pihak syarikat supaya melabur di Perak memandangkan sumber mineral yang mereka gunakan dalam pembuatan produk yang dihasilkan di kilang mereka di Johor datangnya dari negeri ini,” katanya pada Majlis Pelancaran kilang Smart Paint di sini, hari ini.

Saarani berkata, persefahaman yang dimeterai antara Smart Paint dan InvestPerak akan memberikan manfaat untuk kedua-dua belah pihak.

Katanya, Smart Paint dapat menjimatkan kos operasi sumber bahan mentah dalam industri pembuatan cat, manakala Perak dapat mengukuhkan lagi sektor mineral yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kedudukan Perak yang terletak di lokasi strategik juga membolehkan syarikat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka di negeri bahagian utara dan juga di bahagian tengah Semenanjung Malaysia.

“Pembangunan kilang ini juga akan menggalakkan pengeluaran produk berkualiti dan mengelakkan sumber-sumber ini daripada hanya di eksport keluar negara tanpa sebarang proses dan aktiviti hiliran.

“Usaha ini adalah seiring dengan agenda pelan pembangunan negeri iaitu Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 dan juga Pelan Perindustrian Perak (P3) yang diterajui oleh InvestPerak. P3 akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan prestasi sektor perindustrian negeri bagi 10 tahun bermula 2021 sehingga 2030,” katanya.

Kemudahan baharu Smart Paints yang berkeluasan 95,170 kaki persegi telah direka bentuk dengan teliti untuk mengoptimumkan proses pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi.

Dengan ruang pembuatan yang diperluaskan, Smart Asia menjangkakan peningkatan 27 juta liter kapasiti pengeluaran tahunan untuk cat hiasan dan salutan pelindung.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Operasi Smart Asia Chemical, Lim Kok Beng, berkata matlamat syarikat adalah untuk mengukuhkan kedudukan mereka sebagai jenama cat nasional yang bereputasi di Malaysia.

“Dengan matlamat ini, kumpulan telah memutuskan untuk menubuhkan kemudahan di Perak di mana langkah ini bukan sahaja akan menyelaraskan operasi pembuatan tetapi juga meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memastikan permintaan yang semakin meningkat dipenuhi untuk produk kami.

“Kemudahan baharu di Perak ini memperkenalkan dua sistem inovatif iaitu Sistem Pewarnaan Industri dan Sistem Pengeluaran Cat Automatik untuk merevolusikan proses pembuatan bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online