Foto hiasan.

IPOH: Kerajaan negeri menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes buli di sebuah sekolah sukan negeri di Gunung Rapat, di sini yang membabitkan dua pelajar yang juga atlet sukan sepak takraw.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara yang berlaku minggu lalu.

Beliau berkata, kejadian itu juga sudah menjadi kes polis apabila ibu mangsa iaitu pelajar Tingkatan Tiga sudah membuat laporan di Kuala Lumpur berhubung kejadian buli berkenaan atas faktor keselamatan mangsa.

“Saya difahamkan pihak sekolah sudah mendapat laporan penuh daripada mangsa dan pelaku dalam kes buli itu, jadi kita harus tunggu laporan penuh itu untuk pastikan kronologi kejadian,” katanya ketika ditemui Majlis Penyerahan Kit Kesihatan Pergigian Murid di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Khairudin berkata, lagi, pihaknya difahamkan pelajar Tingkatan 3 itu ditendang selain dipijak oleh pelajar seniro di Tingkatan 5, namun dari segi kecederaan mangsa pihaknya menunggu laporan yang akan dikeluarkan doktor.

“Kita tidak boleh mengatakan kecederaan dihadapi mangsa itu sama ada teruk atau cedera ringan kerana ia bergantung kepada pemeriksaan dan laporan perubatan yang akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa khususnya daripada doktor. Cuma yang saya difahamkan mangsa ditendang dan dipijak,” katanya.

Buat masa ini, katanya, mangsa dibenarkan bercuti untuk dibawa pulang keluarganya ke Kuala Lumpur termasuk bagi mendapat pemeriksaan lanjut.

“Saya difahamkan pihak sekolah sudah mengambil langkah awal untuk mengelak kes ini berlanjutan kepada mangsa lain, termasuk memberi cuti kepada pelaku kes atau diberi proses untuk penggantungan sekolah dan sebagainya.

“Namun ia bergantung siasatan dilakukan Lembaga Disiplin serta laporan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online