KRISYA Atira dari suku Semai menunjukkan set solekan yang digunakan bagi menata hias wajah pelanggan yang terdiri daripada pengantin di Kampung Tangkai Cermin.
Batu Gajah: Minat mendalam terhadap dunia kecantikan sejak kecil mendorong gadis Orang Asli menceburi perniagaan berasaskan solekan.
Jurusolek muda, Krisya Atira Din, 19, dari suku Semai yang menetap di Kampung Tangkai Cermin, di sini melihat bidang diminatinya sebagai satu peluang pekerjaan.
Beliau adalah peserta kursus Solekan Pengantin Alaf Baru yang dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), sebuah agensi peneraju bagi program flagship Koridor TVET Malaysia di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Krisya Atira berkata, kursus disertainya selama lapan hari bermula 22 Mei lalu itu amat membantu dari segi memberi pendedahan kepadanya mengenai asas solekan dan teknik mekap terkini bagi kekal relevan dalam industri kecantikan.
Menurutnya, maklumat berhubung kursus berkenaan disalurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menerusi hebahan yang disampaikan oleh Tok Batin, Che Ali Kana.
“Tenaga pengajar kursus seperti Noor Fauzana Ahmad Nawawi dan Nurul Wahida Abu Bakar menunjukkan kaedah mekap satu persatu hingga kami peserta yang semuanya terdiri daripada Orang Asli di kampung ini mudah faham.
“Antara teknik baharu yang saya pelajari seperti smokey eye, socket, mekap siang dan malam serta beberapa lagi.
“Tenaga pengajar juga berikan dorongan bagi kami menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan sampingan, oleh sebab itu saya berani tawarkan perkhidmatan solekan ini kepada bakal pengantin di kampung ini,” katanya.
Menurut lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bendahara C. M. Yusuf itu, dia bersyukur pihak kerajaan negeri turut membekalkan peralatan solekan asas bagi peserta kursus berkenaan yang membolehkannya memulakan perniagaan solekan pengantin sejak Ogos lalu.
Krisya Atira meluahkan rasa gembiranya apabila dua pengantin wanita di Kampung Tangkai Cermin memberikan kepercayaan kepadanya untuk menata hias wajah sempena hari perkahwinan mereka bulan lalu.
“Pelanggan berikan maklum balas yang sangat baik terhadap hasil kerja yang membuatkan saya lebih bermotivasi untuk meneruskan kerjaya ini.
“Bagi permulaan ini, saya mahu beri tumpuan pada permintaan solekan pengantin atau apa-apa acara di kampung ini terlebih dahulu kerana kekangan dari segi peralatan dan pengangkutan.
“Namun begitu, saya berazam mengembangkan perniagaan sebagaimana jurusolek lain dan seterusnya menembusi pasaran mekap kecantikan di syarikat penyiaran serta perfileman,” kata anak kedua dari empat beradik itu.
Krisya Atira berkata, dia yakin Orang Asli tidak seharusnya bersikap pasif sebaliknya perlu merebut sebanyak mungkin peluang yang disediakan oleh mana-mana agensi untuk memajukan diri.
Sumber : Harian Metro Online