Sebahagian penduduk mengambil peluang membeli pelbagai barangan yang dijual di Kedai Bergerak Negeri Perak.

IPOH – Kedai Bergerak Negeri Perak (KBNP) yang dahulunya dikenali sebagai Kedai Bergerak 1Amanjaya merupakan inisiatif kerajaan negeri Perak menerusi pelaksanaan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bagi tujuan membantu golongan berpendapatan rendah.

Ketua Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Datuk Ismail Saffian berkata, pada tahun lalu sahaja, program jualan KBNP telah beroperasi di 402 lokasi di seluruh pelusuk negeri Perak dengan jumlah jualan sebanyak RM1,627,941.

“Seramai 32,480 orang pe­langgan telah mengunjungi dan menikmati manfaat daripada jualan KBNP ini, manakala jumlah sumbangan diskaun yang telah ditaja adalah sebanyak RM250,617.

“Diskaun ini telah ditaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan bersama pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), YBUDR dan jabatan kerajaan serta badan korporat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

KBNP yang dilancarkan pada 25 Mac 2021 bermatlamat untuk memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat khusus­nya di kawasan luar bandar terutamanya keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Ia bagi membolehkan golongan yang berpendapatan rendah untuk membeli pelbagai pilihan barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah berban­ding harga pasaran.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, antara barangan yang paling laris dijual menerusi program ini ialah beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan susu pekat manis.

Pada masa sama, beliau memberitahu, sebanyak 59 jenis barangan keperluan asas dapur dijual di KBNP, bahkan ia turut menyediakan beberapa tawaran menarik seperti pemberian diskaun antara 10 hingga 20 peratus bagi setiap pembelian.

Antara lain katanya ialah penjualan ayam segar berharga RM6 seekor yang beratnya melebihi 1 kilogram (kg) seekor dan telur ayam berharga RM10 sepapan dengan syarat pembelian me­lebihi RM25 bagi satu resit.

“KBNP turut memperkenalkan Set Combo istimewa yang lengkap untuk keperluan seisi keluarga,” katanya.

Ismail berkata, seiring de­ngan matlamat kerajaan negeri Perak iaitu Meneraju Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar, program itu telah memperkenalkan Beg Serbaguna KBNP yang akan dibekalkan bagi setiap pembe­lian Set Combo barangan.

“Pada masa kini, KBNP telah mempunyai tiga lori untuk digunakan ketika sesi jualan. Selain itu, KBNP ini juga melibatkan usaha dan kerjasama bersama PPPNP dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) sebagai penaja utama program.

“KBNP telah merancang untuk memasang sistem penerimaan Kad Perak Prihatin yang mana ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan Perak bagi menjamin kesejahteraan golongan keluarga berpendapatan rendah serta miskin tegar,” ujarnya.

Sumber : Kosmo Online