Siti Zahirah menerima Anugerah Usahawan Asnaf Terbaik 2022 Perak dalam majlis berlangsung pada 15 Disember lalu. Anugerah disampaikan Saarani (dua dari kiri).
Gopeng: Keputusan seorang wanita asnaf menyertai program mentor mentee anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) enam tahun lalu, ternyata membawa pulangan lumayan apabila mampu mencatatkan pendapatan mencecah RM25,000 sebulan menerusi perniagaan berkonsepkan vendor dikendalikannya.
Biarpun asalnya berniaga makanan buatan sendiri berbentuk miang kham, iaitu makanan tradisi Thailand serta popia gulung Vietnam, Siti Zahirah Ismail, 48, berkata perniagaan atas nama ‘Kedai Akak Lejen’ yang diterajuinya kini lebih fokus konsep vendor produk usahawan asnaf lain.
Katanya, konsep vendor diterapkan apabila melihat penerimaan yang sukar oleh pelbagai pihak terhadap produk usahawan kecil kategori asnaf, biarpun mempunyai kualiti setanding produk di pasaran.
“Saya ambil pelbagai produk asnaf dan letak di kedai untuk diniagakan. Tekad saya adalah untuk buktikan produk asnaf juga adalah yang terbaik, cuma kurang diiktiraf,” katanya kepada BH.
Ibu tunggal kepada tiga anak itu, berkata beliau mengharungi kehidupan sukar apabila diberhentikan kerja sebagai kerani lapan tahun lalu dalam keadaan perlu menjaga bekas suami yang menghidap sakit kronik.
“Diberhentikan kerja dalam keadaan suami tidak sihat hingga membataskan keupayaan saya bekerja sepenuh masa. Tanpa kemahiran, saya ambil keputusan menyediakan servis penghantaran produk rakan.
“Kesempitan hidup ketika itu membuatkan saya tak mampu membayar sewa rumah, selain ada ketika tiada duit untuk membeli makanan. Waktu itu ada rakan mencadangkan saya membuat dan menjual miang kham kerana ia sedang popular, selain mengesyorkan saya berdaftar dengan MAIPk.
“Bermula 2018, saya ikuti kursus MAIPk selama enam bulan,” katanya.
Katanya, bimbingan berterusan dan bantuan dari MAIPk diterima, antaranya bantuan awal perniagaan RM5,000 serta peralatan.
Perniagaan berkembang
Beliau berkata, perniagaannya yang bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng kian berkembang hasil bantuan agensi lain termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Kejayaannya dalam perniagaan yang diusahakan itu menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai Anugerah Usahawan Asnaf Terbaik 2022 Perak.
Siti Zahirah berkata, demi membela lebih ramai asnaf, beliau kini turut terbabit dengan koperasi di bawah naungan MAIPk iaitu Koperasi Usahawan Mandiri Perak Berhad (KUMPB) sebagai Setiausaha dalam visi menjadi peneraju aktiviti keusahawanan asnaf di Perak.
Katanya, koperasi yang ditubuhkan pada 26 Mei tahun lalu itu memulakan operasi membuka ruang dan peluang baharu khususnya kepada usahawan asnaf yang berminat untuk berkolaborasi dalam pemasaran produk di sebuah lot dalam pasar raya Angsana Ipoh Mall, Ipoh.
MAIPk diletakkan antara agensi peneraju agenda 1 Keluarga 1 Usahawan menerusi flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat yang termaktub dalam pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber : Berita Harian Online