Pada 27 Jun lalu, beberapa dokumen berkaitan Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) di pejabat JSJ IPK Perak musnah dalam kebakaran yang berlaku di tingkat dua bangunan berkenaan. – Gambar fail
IPOH: Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian kebakaran di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, bulan lalu.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata proses siasatan masih diteruskan dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua minggu lagi sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Siasatan yang dilaksanakan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Pderak mendapati tiada unsur-unsur asing. Pelakuan jenayah juga tidak dikesan tetapi kita lihat dari aspek pendawaian bangunan lama,” katanya.
Sayani berkata demikian kepada media pada Program Bubur Asyura anjuran Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayan Bomba (PERSKEB), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba (PERISMA) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK) di Ibu Pejabat JBPM Perak, di sini, hari ini.
Katanya, bangunan pejabat JSJ itu adalah kuaters lama yang dijadikan pejabat dan tempat penyimpanan pelbagai dokumen.
Pada 27 Jun lalu, beberapa dokumen berkaitan Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) di pejabat JSJ IPK Perak musnah dalam kebakaran yang berlaku di tingkat dua bangunan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Sayani berkata pihaknya menyarankan supaya masyarakat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam aspek keselamatan dan kebersihan khususnya bagi menghindari serangan haiwan berbisa.
“Saya nampak masyarakat kurang cakna dengan perkara seumpama ini dan apabila ia berlaku kebanyakannya daripada kita akan panik selain tidak tahu untuk berbuat apa-apa bagi langkah pencegahan,” katanya.
Katanya, pengetahuan berkenaan secara dasarnya boleh dipelajari melalui kerjasama yang dilakukan dengan agensi berkaitan.
“Contohnya, jika membabitkan haiwan berbisa ini kita boleh mohon kepada Jabatan Perhilitan untuk dapatkan maklumat atau nasihat bagi langkah-langkah awal yang boleh dicegah dalam waktu kecemasan,” katanya.
Semalam, tular di laman sosial video berdurasi 19 saat memaparkan seekor ular senduk menyusur di bawah badan seorang kanak-kanak lelaki yang sedang berbaring di ruang tamu.
Namun atas tindakan pantas pasukan bomba, ular itu berjaya ditangkap dan kanak-kanak tersebut dilaporkan selamat.
Sumber : Astro Awani Online