Abdul Azim menunjukkan ladang lembu dan kerbau di Kampung Keranji, Kuala Kangsar baru-baru ini.
KUALA KANGSAR – Menyediakan daging berkualiti merupakan aspek penting bagi perusahaan ternakan milik Abdul Azim Hasan Basri, 32, yang mengusahakan perniagaannya di Kampung Keranji, Karai di sini.
Menurutnya, aspek itu penting kerana ia merupakan antara perkara yang boleh membantunya untuk kekal kompetitif dalam pasaran daging ternakan.
Katanya, dia menternak lembu, kerbau dan kambing menerusi jenama Kangsar Farm setelah mengambil alih perniagaan tersebut daripada bapanya pada 2016, dengan antara perkhidmatan disediakan adalah ternakan korban dan akikah serta daging segar terutamanya pada Ramadan.
“Perusahaan ini dilakukan secara separuh intensif, yang mana pada waktu siang ternakan dilepaskan dalam kawasan berpagar seluas 1.2 hektar untuk meragut, manakala pada waktu malam ternakan dikurung untuk diberi makanan tambahan serta demi keselamatan.
“Kami akan memastikan makanan yang diberikan adalah berkualiti dan sihat demi menjaga kualiti daging serta kesihatan ternakan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pada masa sama, Abdul Azim berkata, dia mengehadkan jumlah jualan pada satu-satu masa terutama untuk daging korban supaya dapat memberi fokus kepada aspek kualiti.
Buat masa ini, katanya, kebanyakan pelanggannya terdiri penduduk setempat dan kenalan.
Bahkan, katanya, bagi jualan korban, dia mengutamakan pelanggan tetap supaya kualiti ternakan terjaga.
Menyentuh mengenai bantuan oleh kerajaan negeri Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak, Kangsar Farm menerima bantuan sejumlah RM12,000 untuk pembelian peralatan kandang dan RM36,000 sebagai modal ternakan.
Perak SADC adalah agensi peneraju utama bagi memacu kelestarian sekuriti makanan yang menjadi agenda utama Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Hasil bantuan itu, saya dapat menguruskan ladang secara sistematik menerusi pembelian peralatan walaupun hanya seorang menjaga kira-kira 40 ekor lembu pada satu-satu masa.
“Modal ternakan pula memudahkan saya buat modal pusingan untuk jual beli ternakan,” katanya yang turut berterima kasih dengan bantuan kerajaan negeri tersebut dalam membuka ruang kepadanya menjadi usahawan muda dalam industri ternakan.
Dalam pada itu, Abdul Azim berkata, dia mahu menjual ternakan ayam dan telurnya serta menanam sayur secara hidroponik.
Sumber : Kosmo Online