Nor Haslinda menghasilkan kira-kira 100 paket kerepek pisang seberat 500g dan dijual pada harga RM12 sepaket.
IPOH: Bermula menjual kerepek pisang sekadar membantu suami yang sebelum ini penjawat awam bagi menampung perbelanjaan keluarga, seorang suri rumah akhirnya menjalankan perniagaan keluarga itu secara serius.
Nor Haslinda Kamarudin, 48, bersama suami, Mohd Hasmirizal Ahmad, 45, kini berganding bahu fokus perniagaan kerepek di bawah perusahaan jenama, Kerepek Pisang Sedap Alif Ain AA Enterprise yang diusahakan mereka.
Nor Haslinda menyifatkan, keputusan suaminya bersara awal sebagai wadar Jabatan Penjara sejak dua tahun lalu berbaloi apabila purata pendapatan bulanan diperoleh melalui perusahaan itu kini mencecah sekali ganda.
Menurut ibu dua anak berusia 16 dan 19 tahun itu, perusahaan dibangunkan bermula secara kecil-kecilan di Kuantan, Pahang pada 2009 bagi membantu suami menambahkan pendapatan keluarga yang ketika itu bertugas di sana.
Bagaimanapun, katanya pada 2014 mereka sekeluarga mengambil keputusan pulang ke kampungnya di sini kerana mahu menjaga arwah ibunya yang uzur.
“Emak meninggal dunia setahun selepas kami sekeluarga berhijrah pulang ke Ipoh. Selepas itu kami memulakan semula jualan kerepek secara kecil-kecilan sehingga suami mengambil keputusan bersara awal dua tahun lalu ketika berkhidmat di Batu Gajah.
“Sebenarnya, pembuatan kerepek saya warisi daripada arwah ibu yang membuatnya tanpa dikomersialkan,” katanya kepada BH.
Kata Nor Haslinda, bengkel dan kios perniagaannya terletak di Taman Maju Rapat, Gunung Rapat, di sini pernah menerima bantuan RM10,000 dari Jabatan Pertanian (DOA) Daerah Kinta pada 2019 bagi membeli keperluan peralatan termasuk dapur, meja besi dan mesin sagat (pemotong) pisang.
Katanya, selain DOA, bimbingan keusahawanan seperti kursus dan lain-lain turut diperoleh menerusi pembabitan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain pembabitan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Menurutnya, penggunaan media sosial, terutama TikTok yang mula digunakannya kira-kira setahun lalu bagi mencipta kandungan mengenai pembuatan kerepek pisang serta perniagaannya, sudah melonjakkan hasil jualan sehingga 50 peratus.
Kini, selain menjual kerepek pisang buatan sendiri, Nor Haslinda turut menjual kerepek jenis lain diperoleh daripada pengusaha lain dan dibungkus di bengkel kepunyaannya.
Dalam sehari, kira-kira 100 paket kerepek pisang seberat 500 gram (g) dihasilkan dan dijual pada harga RM12 sepaket. Selain itu, ada beberapa saiz pembungkusan lain dengan harganya mengikut timbangan.
Katanya, selain di bengkel penghasilan kerepek pisangnya, ada 10 lagi rangkaian kedai yang mengambil kerepek pisang daripadanya, termasuk premis terletak dalam kawasan pasar raya Angsana Ipoh Mall, di sini.
Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, terkandung flagship atau inti pati Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah sasaran ‘1 Keluarga 1 Usahawan’ serta ‘1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi’ dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) diletakkan sebagai antara agensi penerajunya.
Sumber : Berita Harian Online