Muhammad Muizzudin (tiga dari kanan) menunjukkan hasil tanaman jagung yang diusahakannya. – Foto Muizzudin
KUALA KANGSAR: Keputusan seorang pemuda yang nekad mengusahakan kebun sayuran pelbagai jenis di atas tanah seluas 11.3 hektar di sini, yang sebahagian besarnya adalah ditanam dengan jagung manis mengubah nasib dirinya dan keluarga.
Muhammad Muizzudin Din, 32, berkata selain tanaman jagung manis seluas dua hektar, dia turut mengusahakan tanaman lain seperti timun, kacang panjang, cili, kucai, sawi, jangung, terung bulat, terung mini, dan peria secara kaedah fertigasi di kebunnya di Kampung Talang Dusun serta di Kampung Sayong, di sini.
Bagi memastikan pertanian diusahakan berkembang pesat, beliau mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi Gabungan Usahawan Tani Kuala Kangsar (Kogahad) pada 2016 dan berperanan sebagai pengerusi.
Muizzudin berkata, semuanya bermula 13 tahun lalu apabila dia memulakan penanaman sayuran secara konvensional dan kecilan di atas tanah pajak, sekembalinya ke kampung halaman selepas meninggalkan kerjaya sebagai jurujual di ibu kota atas faktor kesesakan hidup dan kekeluargaan.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menamatkan pengajian peringkat sijil dalam bidang Teknologi Elektrik di sebuah kolej komuniti. Kemudian, saya bekerja sebagai jurujual di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung.
“Saya pulang ke kampung dengan ‘misi’ untuk keluarga. Saya kemudian memulakan penanaman sayur secara kecil-kecilan sebelum mengembangkan lagi keluasan kawasan tanaman dengan memajak tanah dari pihak lain.
“Bukan hanya untuk memastikan keterjaminan makanan, saya juga berazam membuktikan bahawa bidang pertanian dapat menjamin pendapatan konsisten dan lumayan,” katanya kepada BH.
Agenda keterjaminan atau sekuriti makanan adalah salah satu ‘flagship’ di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia.
Selain bergiat aktif mengembangkan Kogahad, Muizzudin berkata, pembabitannnya selaku rakan niaga pemasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menyediakan fasiliti pusat pengumpulan hasil tanaman, telah berjaya menguasai 70 peratus daripada pasaran tempatan di darerah Kuala Kangsar.
Kesungguhan ditunjukkan itu membolehkan Muizzudin dilantik sebagai Ikon Kerjaya Pertanian Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).
Ia pada masa yang sama membolehkan pusat pengumpulan tanaman diusahakannya meraih nilai pengeluaran kasar antara RM40,000 hingga RM60,000 sebulan.
Katanya, pinjaman tanpa faedah RM60,000 dan bimbingan diterima daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) empat tahun lalu, turut membantunya menaik taraf peralatan pertanian di kebunnya yang sebelum ini dibangunkan secara konvesional.
Muizzudin berkata, menerusi koperasi diterajui, beliau kini giat mengembangkan keluasan tanaman jagung manis daripada dua hektar menjadi 3.64 hektar selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Ia berikutan, potensi tanaman itu mampu menaikkan industri peringkat hiliran.
“Cadangan untuk memperluaskan lagi tanaman jagung kerana ia tanaman jangka panjang dan juga makanan ruji di sesetengah negara seperti juga beras.
“Jagung juga boleh diproses menjadi produk hiliran malah koperasi kami melakukan pemprosesan sendiri bagi
kernel jagung, selain batang jagung itu pula kita proses untuk dijadikan makanan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing,” katanya.
Sumber : Berita Harian Online