Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT) hari ini. – Foto BERNAMA
IPOH: Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) merupakan platform antara ketiga-tiga negara melaksanakan usaha berkoordinasi bagi pengurusan lestari sumber semula jadi.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pengurusan lestari sumber semula jadi merangkumi hutan, air, hidupan liar selain memperkukuh kerjasama dalam pengurusan dan pemulihan ekosistem di kawasan sempadan.
“Ia memerlukan kerjasama antara ketiga-tiga negara dan perlu ada kefahaman bersama, sebagai contoh jika berlaku jerebu, ia akan menjejaskan keseluruhannya jadi sebab itu kita perlu memahami cara dan kaedah pengurusan hutan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah Indonesia-Malaysia-Thailand kali keenam di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Delegasi Kerajaan Thailand Lt Jen Polis Sakorn Thongmunee, Ketua Delegasi Republik Indonesia Ahmad serta Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Dalam pada itu, Saarani berkata mesyuarat yang berlangsung hari ini adalah untuk menyelia dan memantau kemajuan Rangka Kerja Pembangunan Bandar Lestari (SUDF).
“Mesyuarat ini juga berbincang untuk menangani pelbagai cabaran alam sekitar dan sosial dengan menggalakkan pengurusan sumber yang bertanggungjawab, mengurangkan pencemaran dan sisa, dan memupuk masyarakat yang lebih saksama dan berdaya tahan.
“Kesimpulan dan dapatan yang diperoleh daripada mesyuarat yang berlangsung ini akan diumumkan pada Forum Ketua Menteri dan Gabenor, yang akan diadakan pada 27 Sept di Batam, Indonesia,” katanya.
Sumber : Astro Awani Online