SAARANI merasmikan jualan ayam, telur dan daging oleh Perak SADC pada kadar potongan harga 50 peratus sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan 2023 siri 6 di daerah Hulu Perak anjuran Kerajaan Negeri Perak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik.

Gerik: Bersempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan 2023 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik di sini, kelmarin, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menawarkan 50 peratus diskaun bagi barangan keperluan asas seperti ayam, telur dan daging (Lenggong Beef).

Kadar potongan harga 50 peratus itu diberikan bersempena Ulang Tahun ke-50 Perak SADC (1973 -2023).

Selain jualan itu, Perak SADC turut bekerjasama dengan Kedai Bergerak Negeri Perak mengadakan jualan promosi istimewa dengan setiap pengunjung yang berbelanja minimum RM10 di kedai bergerak berkenaan, layak untuk membeli ayam segar dengan harga serendah RM10 untuk dua ekor ayam serta telur ayam berharga RM7 sepapan.

Menurut Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Kumpulan Perak SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad, program jualan murah atau subsidi barang keperluan asas membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam komuniti.

Beliau berkata, dengan menjual barangan keperluan asas yang lebih murah kepada golongan kurang berkemampuan, ia mampu memastikan mereka memperoleh nutrisi yang mencukupi untuk hidup sihat.

“Ini adalah langkah penting dalam memastikan semua individu mememiliki peluang sama berkembang dan memberi kesan positif kepada kesihatan dan pembangunan komuniti.

“Penjualan bahan mentah segar dengan harga lebih rendah daripada pasaran ini juga dapat direalisasikan hasil daripada keprihatinan Perak SADC melalui pemberian subsidi yang diselaraskan oleh mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran 50% Jualan Murah Sempena Ulang Tahun ke-50 Perak SADC (1973-2023) sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan siri 6, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC, Yahanis Yahya berkata, selaku salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, pihaknya ingin mengelakkan pembaziran dengan mengadakan acara sambutan secara besar-besaran yang oleh itu tercetusnya idea pemberian 50 peratus diskaun jualan sempena Ulang Tahun ke-50 Perak SADC (1973-2023) itu.

Katanya, ia juga inisiatif yang bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah memperoleh akses bagi mendapatkan barangan keperluan asas segar produk pertanian berkualiti dengan harga lebih berpatutan.

“Ini membantu rakyat menjimatkan kos dan meningkatkan aksesibiliti kepada sumber makanan yang sihat’,” katanya.

Dalam acara sama, Saarani turut menyaksikan sesi penyerahan replika cek Program Pembangunan Usahawan Ayam Kampung, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia (KKDW) bernilai RM900,000 daripada KKDW diwakili Pengarah KKDW Perak, Faizal Shah Safian Huri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC yang diwakili Yahanis Yahya.

Selain itu, turut diadakan penyerahan cek kepada usahawan Skim Pinjaman Tanpa Faedah Perak SADC & Geran Usahawan Asnaf  Berjaya disampaikan Saarani kepada Izzat Syahmi Omar (RM27,000) dan Mohd Bararuddin Hashim (RM4,000).

Sumber : Harian Metro Online