Mohd Rizal ketika sidang media berhubung program berkenaan di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Rabu.

IPOH – Dalam usaha menyemarakkan Bulan Kebangsaan, kerajaan Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan (Japen) negeri menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM25,000 bagi penganjuran beberapa pertandingan untuk direbut orang ramai.

Pengarah Japen Perak, Mohd Rizal Hashim berkata, ia termasuklah Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Video Tiktok Merdeka, Pertandingan Mobile Instagram Photo dan Pertandingan Silang Kata Online.

Menurutnya, kesemua pertandingan tersebut akan berlangsung secara dalam talian dan bersemuka bermula pada 14 hingga 25 Ogos ini terbuka kepada warga Perak dan mereka yang bermastautin di negeri ini.

“Pertandingan-pertandingan yang kita anjurkan ini bertujuan meningkatkan semangat patriotik melalui kreativiti, pengetahuan dan menzahirkan rasa cinta kepada negara.

“Kesemua maklumat lanjut dan syarat-syarat penyertaan bagi pertandingan dianjurkan boleh diakses melalui laman sosial rasmi Japen Perak atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak,” katanya kepada pemberita ketika sidang media berhubung program berkenaan di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Rabu.

Mohd Rizal berkata, seperti pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, ia bukan sekadar pertandingan hiasan tetapi matlamat utama ialah menigkatkan semangat patriotik melalui kreativiti dan inovasi pengibaran Jalur Gemilang.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan bagi Keceriaan Bulan Kebangsaan iaitu sekolah menengah, sekolah rendah dan bangunan kerajaan/swasta dengan johan bagi setiap kategori itu bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000) berserta plak dan sijil.

Sementara itu, mengenai pertandingan Video Tiktok Merdeka, beliau menjelaskan peserta perlu menghasilkan video kreatif berdurasi minimum 30 saat dengan pemenangan akan menerima hadiah wang tunai RM700 bagi tempat pertama diikuti RM500 (tempat kedua) dan RM300 (tempat ketiga) serta lima hadiah saguhati sebanyak RM150 setiap satu.

Beliau berkata, Pertandingan Mobile Instagram Photo pula menawarkan hadiah RM700 hingga RM150 dengan memberi peluang kepada peserta merakam momen Bulan Kebangsaan menggunakan telefon pintar masing-masing.

Selain, pertandingan Silang Kata Online pula menampilkan keunikan tersendiri dengan mencabar kemahiran orang ramai menjawab soalan bertemakan kemerdekaan, sejarah negara dan negeri Perak dengan disertakan slogan kreatif yang dihasilkan menggunakan tema Malaysia MADANI dan Perak Sejahtera 2030.

Katanya, pemenangan utama akan menerima wang tunai RM500, manakala tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan 10 hadiah saguhati bernilai RM100 bagi setiap pemenang.

Sumber : Kosmo Online