Massuwan membuka kios menjual makanan di pantai peranginan Teluk Senangin, Lumut.
MANJUNG: Seorang pekerja pembersihan bangunan memanfaatkan bantuan diterima menerusi pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan membuka gerai di pantai peranginan Teluk Senangin, Lumut dalam usaha menambah pendapatan keluarga demi menyara tujuh anak yang masih belajar.
Massuwan Marzuki, 47, berkata pelaksanaan IPR iaitu Inisiatif Basmi Miskin Tegar Daerah Manjung yang disertainya menerusi Program Laman Rezeki Teluk Senangin membolehkan beliau membuka kios makanan seperti rojak, cucur udang, nasi lemak dan laksa pada hujung minggu dan cuti umum.
Katanya, beliau sedar pendapatan sebagai pekerja pembersihan kira-kira RM1,600 sebulan perlu ditambah kerana tiga anaknya kini berada di institusi pengajian tinggi (IPT), manakala empat masih bersekolah.
Beliau yang tinggal di Kampung Batu 3 Segari di sini, membuka kios setiap hujung minggu dan ketika mempunyai kelapangan khususnya sewaktu cuti, melihat kepada kedatangan pengunjung yang ‘meriah’ sewaktu hujung minggu dan hari kelepasan am.
“Pendidikan anak-anak menjadi keutamaan bagi mengubah kehidupan keluarga. Justeru itu, saya sanggup mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Sitiawan dan menjadi pekerja pembersihan bagi mencari lebih masa cuti untuk menjalankan perniagaan.
“Saya sangat perlukan duit termasuk untuk membiaya pelajaran anak-anak. Pada saya, kalau tak dapat makan sesuatu yang diinginkan masih tidak mengapa asalkan dapat membeli yang asas. Namun dalam hal pelajaran, sama ada cukup tidak kena bagi juga pendidikan terbaik kepada anak-anak.
“Berikutan itu saya ambil keputusan meninggalkan kerja sebagai pengawal keselamatan yang waktu kerjanya tidak menentu untuk beralih sebagai pekerja pembersihan seperti sekarang yang waktu kerjanya adalah Isnin hingga Jumaat. Jadi pada hujung minggu atau cuti umum, saya boleh berniaga.
“Alhamdulillah, daripada perniagaan kecil menerusi inisiatif bantuan IPR ini, sejak tujuh bulan lalu, saya mampu mencari duit tambahan kira-kira RM500 sebulan, yang membantu saya menyara keluarga,” katanya kepada BH.
Massuwan berkata, tiga anaknya kini mengikuti pengajian tinggi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seorang lagi di Politeknik Ungku Omar (PUO).
Bantuan niaga
Katanya, bantuan niaga yang diterimanya pada akhir Ogos lalu meliputi peralatan seperti dapur gas, periuk, kuali, rak paparan makanan, dan dulang selain bahan mentah, membolehkan gerai dibuka di Dataran Senangin 2, yang turut dikelilingi kawasan chalet peranginan.
“Pemberian kit peralatan perniagaan termasuk kios di Teluk Senangin memudahkan saya dan isteri berniaga seperti nasi lemak, sebelum dikembangkan dengan menu makanan lain.
“Selain pemberian peralatan, latihan dan kursus bersesuaian serta pemantauan berkala turut dijalankan cuma berikutan terikat dengan kerja tetap, saya belum sempat mengikuti latihan dan kursus walaupun selepas ini mungkin saya akan berniaga sepenuh masa ,” katanya.
Membasmi Miskin Tegar 2025 diletakkan sebagai ‘flagship’ menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan Kampung Batu 3 Segari, Manjung tersenarai bagi Program Rintis Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).
Sementara itu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung dalam kenyataannya, berkata sesi penyerahan kios perniagaan bagi Program Laman Rezeki Teluk Senangin dijalankan pada 24 Ogos 2023 yang membabitkan seramai tujuh peserta.
Sumber : Berita Harian Online