Mohd Pareb menunjukkan pembuatan labu sayong di Kampung KepalaBendang, Kuala Kangsar.
KUALA KANGSAR: Penghasilan labu sayong yang diperbuat daripada tanah liat kini sudah melalui evolusi aspek reka bentu, corak dan kegunaan.
Bagaimanapun, ia masih menyimpan rahsia manfaat kegunaan asalnya sebagai penyejuk air semula jadi, selain mampu menyejuk atau menyamankan ruang dalaman.
Air yang disimpan dalam labu sayong sejuk secara semula jadi dikatakan berupaya menyejukkan badan. Malah, terdapat kajian teori ahli akademik menerangkan, perkaitan labu sayong yang mampu menyejukkan air di dalamnya.
Kajian oleh Zainul Abidin Hassan dari Universiti Putra Malaysia pada 1986 menerangkan secara teori, air dalam seramik berkenaan lebih sejuk berbanding suhu bilik disebabkan proses penyejatan dari permukaan labu sayong yang turut dipengaruhi jenis tanah liat dan ketebalan dindingnya.
Kajian itu menerangkan tanah liat pada labu sayong semestinya mempunyai liang yang dapat diresapi air melalui proses rerambut atau capillary action, iaitu melalui proses titisan air yang amat kecil meresap hingga permukaan labu dan dirasakan seperti basah.
Pengusaha labu sayong dan seramik KZ Kraf, Mohd Pareb Zamari, 46, berkata konsep serupa menyamai perbandingan umum antara binaan daripada bata merah, iaitu daripada tanah liat yang dianggap lebih menyejukkan, berbanding bata daripada simen dan pasir.
Mohd Pareb yang mengusahakan KZ Kraf di Kampung Kepala Bendang, di bandar diraja ini berkata, kesejukan air dalam labu dapat membuatkan capaian keseimbangan suhu apabila haba dari luar mengalir masuk ke dalam labu hingga mampu mengurangkan suhu ruang dalaman.
Beliau berkata, disebabkan ‘rahsia’ itu kini pihaknya lebih fokus untuk penghasilan labu sayong tradisional, berbanding penghasilan produk seramik lain.
Katanya, perusahaannya kini mengutamakan agenda memupuk kesedaran serta minat, agar legasi pembuatan labu sayong tradisional yang sinonim dengan Kampung Kepala Bendang di mukim Sayong itu terus diwarisi dan dipertahankan merentas generasi.
“30 tahun lalu, ketika saya bermula dengan perusahaan ini boleh dikatakan lebih 90 peratus penduduk kampung adalah pengusaha labu sayong, namun kini yang tinggal tidak sampai 10 pengusaha aktif. Saya berpegang kepada pesanan arwah ayah agar memastikan industri ini dapat lebih berkembang,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, pengalamannya menyertai pelbagai festival dan pameran di 10 negara luar termasuk Perancis, Jerman, dan Jepun bagi mempromosikan produk kraf labu sayong mendapati, warganegara terbabit mengakui mutu dan keunikan labu sayong setanding penghasilan kraf tangan di negara berkenaan.
Beliau berkata, sejak dari awal pembabitannya dalam industri itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia negeri Perak (Kraftangan Perak) dan Tourism Perak banyak membantu serta membimbingnya dalam penghasilan produk berkualiti yang diiktiraf, selain mempromosikannya bagi menyemarakkan pelancongan.
“Saya sering berbincang dengan Kraftangan Perak khususnya apabila produk labu sayong mendapat banyak tempahan dari negara luar. Namun kemampuan penghasilan kita agak terbatas dari segi tenaga kerja dan peralatan untuk membuatnya bagi memenuhi semua permintaan itu.
“Disebabkan kekangan itu kami sentiasa terbuka untuk menerima kehadiran rombongan dari luar untuk mengadakan lawatan sambil belajar bagi aktiviti interaktif penghasilan kraf di premis KZ Kraf, seiring dengan hasrat agar legasi warisan ini terus sentiasa terpelihara.
“Selain menjual produk, KZ Kraf kini berperanan sebagai pusat sehenti bagi mempelajari teknik pembuatan labu sayong tradisional yang turut menggunakan tenaga mahir penduduk kampung dalam pembuatannya bagi memberi pengalaman kepada pengunjung merasainya ketika lawatan,” katanya.
Ekonomi Pengalaman diletakkan sebagai satu daripada inti pati (flagship) pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah agenda Koridor Pelancongan Diraja Global (Global Royal Tourism) dengan Tourism Perak diletakkan sebagai antara agensi penerajunya.
Sumber : Berita Harian Online