PELANCONG menunjukkan gambar di Galeri Sejarah Kesultanan Perak yang sudah diperbaiki di kawasan Beting Beras Basah di Bagan Datuk. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

BAGAN DATUK: Galeri sejarah kesultanan Perak di kawasan pertabalan Beting Beras Basah di sini yang sebelum ini dikesan berlaku kegiatan vandalisme sudah dibaiki.

Tinjauan mendapati gambar-gambar sejarah mengenai kesultanan Perak yang dipamerkan galeri di situ yang sebelum ini dikoyakkan sudah dibaiki, begitu juga cermin pameran yang pecah sebelum ini sudah ganti baharu.

Selain itu, lain-lain kawasan yang sebelum ini dinaiki semak, sudah dibersihkan termasuk jambatan dan pintu gerbang di kawasan Beting Beras Basah.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui berkata, mereka berpuas hati dengan keadaan kawasan Beting Beras Basah terutama galeri pameran diraja yang sudah diperbaiki manakala kawasan sekelilingnya sudah dibersihkan.

Khadijah Harun, 59, berkata, sebelum ini ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Sungai Tiang di sini dia sempat melawat kawasan Beting Beras Basah.

Katanya, ketika itu kawasan tersebut masih tidak diselenggara dengan baik seperti rumput sekeliling kawasan itu panjang dan berlaku vandalisme di galeri pameran diraja.

“Namun apabila kami datang ke sini semula hari ini, kami terkejut melihat perubahan di kawasan ini yang sudah dibersihkan, galeri pameran diraja juga diperbaiki.

“Apa yang dapat saya katakan kawasan ini sudah semakin cantik dan jika keadaan ini dikekalkan, saya percaya ramai pelancong yang akan datang ke sini,” katanya.

Sebelum ini, tinjauan mendapati kawasan istiadat pertabalan Sultan Perak, Beting Beras Basah di sini didapati berlaku kegiatan vandalisme.

Ia dikesan apabila gambar-gambar sejarah mengenai kesultanan Perak yang dipamerkan galeri di situ didapati terkoyak, selain cermin kaca pameran bergambar sejarah kesultanan Perak sudah pecah.

Keadaan itu berlaku dipercayai berikutan kawasan bebas dimasuki sesiapa sahaja kerana tiada pengawal keselamatan.

Sumber : Utusan Malaysia Online