Perkembangan pesat kawasan Meru di Parlimen Tambun menjadi permulaan untuk membangunkan semula Ipoh mengikut kerangka model Ekonomi Donut.
IPOH – Perak mengharapkan model pembangunan Ekonomi Donut yang mahu dilaksanakan akan kembali meletakkan negeri itu khususnya Ipoh sebagai destinasi pilihan untuk pencari kerja terutama anak-anak muda.
Ketika ini, penyelidik menggariskan beberapa cabaran yang dihadapi Perak termasuk penghijrahan keluar penduduk yang tinggi atas alasan kerjaya dan B40 adalah kumpulan tertinggi iaitu 57.8 peratus.
Dalam gambaran bulatan kuih donut, keperluan asas menjadi faktor utama dalam perancangan ekonomi. Bagaimanapun, semakin bulatan itu membesar, proses pembangunan ekonomi tidak boleh melebihi batas sehingga menjejaskan ekosistem masyarakat dan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Maisarah Ahmad berkata, model ekonomi itu adalah alternatif dalam mencari penyelesaian kepada cabaran perdana negeri Perak dan Ipoh secara khusus.
“Rakyat kini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai hak mereka untuk mendapatkan kehidupan berkualiti menerusi maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan selain mengharapkan kualiti penyampaian perkhidmatan memuaskan,” katanya.
Maisarah dan aktivis masyarakat, Dr. Richard Ng turut menjadikan kota Amsterdam di Belanda sebagai contoh terbaik kejayaan pembangunan berasaskan model tersebut.
Katanya, bandar raya itu pada mulanya bercita-cita besar dalam pembangunan, namun berdepan kesulitan untuk mengimbangi antara keperluan penduduk dan kepentingan alam sekitar, namun masalah itu berjaya diatasi.
“Inisiatif Kerajaan Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh adalah suatu langkah bijak bagi memastikan tiada warga Perak amnya dan warga Ipoh khasnya terpinggir dan tersisir daripada arus pembangunan sambil memastikan planet kita sihat,” katanya.
Ekonomi Donut berteraskan ekonomi yang berperanan penting dalam menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030 yang mana ia menitikberatkan aspek keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Sumber : Kosmo Online