Program e-sukan yang dikendalikan Biro Belia jawatankuasa masjid bertujuan menarik lebih ramai belia

IPOH: Masjid bukan sekadar sebagai pusat ibadat, pendidikan dan ekonomi, tetapi seharusnya diperkayakan dengan aktiviti sosial masyarakat, terutama yang berupaya menarik minat anak muda.

Antaranya menganjurkan pertandingan e-sukan atau sukan elektronik dalam kalangan belia di kariah masing-masing.

Perkara itu disuarakan melalui titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sebuah majlis diadakan 12 Januari lalu.

Baginda bertitah e-sukan kini menjadi ikutan ramai justeru, masyarakat khususnya ibu bapa wajar melihat permainan elektronik secara positif iaitu membantu meningkatkan pemikiran strategik serta kritikal.

Jawatankuasa kariah Masjid Raja Nazrin Shah dekat Kampung Rapat Jaya Tambahan, di sini menggunakan pendekatan itu dengan menganjurkan pertandingan e-sukan pada program Hari Keluarga masjid itu yang berlangsung 17 Disember lalu dengan kolaborasi bersama sebuah syarikat mengendalikan pusat siber.

Pengerusi masjid, Mat Razali Abdul Rahman, 55, berkata program e-sukan turut berjaya menarik kehadiran belia bukan Muslim untuk menyertainya, sekali gus memberi gambaran keindahan agama Islam dalam berinteraksi dengan masyarakat berbilang bangsa serta agama.

Beliau berkata, pada mula pihaknya turut ragu dan khuatir untuk menganjurkan pertandingan e-sukan itu kerana memikirkan kecaman masyarakat setempat yang melihat permainan video adalah sia-sia, namun disebabkan ingin melakukan pembaharuan inisiatif itu diteruskan.

“Kami harus berani mencuba perkara baharu sebegini dengan matlamat menggantikan perkara ‘lagha’ (sia-sia) itu hingga mampu merapatkan masyarakat kepada masjid.

“Program e-sukan yang dikendalikan Biro Belia jawatankuasa masjid ini bertujuan menarik minat belia ke masjid dan kejayaan menarik seorang belia bukan Muslim menyertainya, secara tidak langsung menjadikannya medium dakwah.

“Saya berpendapat, masjid lain wajar menganjurkannya kerana selain sebagai medium dakwah, ia turut bantu membangunkan modal insan belia kita,” katanya kepada BH.

Mat Razali, berkata beberapa program lain yang sinonim dengan generasi muda, termasuk program berkhatan kanak-kanak secara beramai-ramai turut menyelitkan elemen sukan elektronik bagi menarik kehadiran ramai.

Menurutnya, setakat ini masjid itu tidak mempunyai ruang khas mahupun peranti konsol permainan video sendiri, namun kerjasama dengan pihak luar membolehkan program e-sukan dijalankan.

Katanya, sejak menerajui jawatankuasa masjid itu pada 2018, banyak perubahan cuba dilakukannya termasuk membina dewan serba guna dalam pekarangan kawasan masjid dengan unjuran kos RM1 juta yang boleh memuatkan 800 orang.

“Beberapa tahun lalu pihak masjid ada menerima sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Perak atas nama pembangunan masjid iaitu bagi menampung sebahagian kos pembinaan tempat wuduk baharu membabitkan kos keseluruhan RM50,000. Kini pihak masjid dalam proses memohon sumbangan serupa bagi membiayai sebahagian kos pembinaan dewan,” katanya.

Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Meteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pembangunan Modal Insan & Belia diletakkan sebagai satu daripada lima keperluan rakyat.

Selain itu pelan sama turut meletakkan Akademi e-Sukan sebagai antara agenda yang ingin dicapai menerusi flagship Ekonomi Digital Negeri Perak dengan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Majlis Sukan Negeri diletakkan sebagai antara agensi yang menerajuinya.

Sumber : Berita Harian Online