IPOH – Seorang ibu tunggal yang pernah bergelar asnaf kini bersyukur telah keluar daripada kategori itu selepas mengikuti Kursus Refleksologi dan Urutan di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A), anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Kesusahan dialami Norimah Sidek, 47, telah berakhir dan kini mampu menyara empat orang anaknya yang sedang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dan bersekolah rendah.
Dia bersyukur mampu hidup lebih selesa selepas mengusahakan perkhidmatan refleksologi dan urutan hasil bantuan dan sokongan MAIPk.
Menurutnya, sebelum dia menjalankan perkhidmatan tersebut, dia terbabit dalam bidang penjagaan warga emas.
“Saya mula belajar dalam bidang urutan refleksologi pada tahun 2023. Disebabkan saya menceburi bidang penjagaan warga emas ia bersangkut paut dengan urutan refleksologi yang saya belajar dalam kursus anjuran MAIPk.
“Bidang itu banyak membantu saya dan bila mengenali Puan Su (Penyedia Latihan Syarikat Humaira Training Centre, Harisun Kassim) yang mempunyai ramai rakan perniagaan. Daripada situ, meningkatnya servis dalam bidang penjagaan warga emas dan refleksologi,” katanya.
Dia berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat dan Bukber ProReflexy di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar.
Katanya, sejak mengikuti kursus tersebut, banyak perkara yang MAIPk berikan termasuk memberi pendidikan berkenaan perniagaan dan perkara berkaitan.
“Daripada situ bertambahnya pendapatan saya dan saya boleh menjadi seorang penyumbang zakat tahun ini. Nak tunggu saya kaya mungkin tak tahu bila boleh kaya, memang selepas bayar zakat perubahan memang banyak,” katanya yang mula membayar zakat secara dalam talian selepas menjalankan perkhidmatan tersebut.
Seorang lagi peserta, Mohamad Fauzi Aziz, 47, berkata, sebelum ini dia menjalankan perkhidmatan urutan dari rumah ke rumah dan pasar malam.
“Dengan izin Allah SWT saya dapat sertai kursus anjuran MAIPk ini pada tahun 2023 banyak ilmu diperolehi. Saya bersyukur MAIPk bantu dan baru bulan lepas dengan izin Allah saya dapat membuka kedai,” ujarnya.
Mohamad Fauzi yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran turut teruja kerana dapat membayar zakat buat pertama kali.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, kira-kira 300 bekas peserta yang pernah mengikuti beberapa kursus di bawah Proper A, 70 peratus daripadanya telah mula membayar zakat pendapatan.
Katanya, sebahagian daripada bekas peserta tersebut adalah mereka yang menyertai kursus refleksologi dan urutan.
“Hari ini dapat kunjungan daripada bekas peserta dan mereka mengikuti program Proper A daripada tahun 2019 hingga 2024. Apa yang menariknya, mereka adalah penerima bantuan zakat MAIPk dan kini mereka kembali membayar zakat kepada kita,“ ujarnya.
Proper A adalah latihan dalam bidang keusahawanan yang diwujudkan sejak 2016 khusus untuk golongan asnaf bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Antara kursus yang diawarkan adalah urutan dan refleksologi, kulinari dan pastri, penternakan lebah kelulut dan gunting rambut.
Sumber: Malaysia Gazette