MARDEANNA dipanggil bertugas di Terra Mineral Lab Sdn Bhd di Perbadanan Menteri Besar Perak, awal Februari lalu. FOTO Muhamad Lokman Khairi S
Ipoh: Program Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) pendekatan terbaik meningkatkan kebolehpasaran rakyat di negeri ini secara sistematik.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Persekitaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Permatang Pauh, Mardeanna Aliah Mohd Makhfuz, 24, berkata, dia antara pencari kerja berdaftar dengan agensi pembangunan sumber manusia ketika penganjuran program berkenaan di Stadium Indera Mulia di sini, pada 16 dan 17 September tahun lalu.
Dia yang baru sahaja bergraduasi pada Ogos tahun lalu umpama langkah kanan apabila memperoleh pekerjaan sebagai penolong pegawai kimia di Terra Mineral Lab Sdn Bhd, makmal yang menganalisis dan menentusahkan kandungan unsur mineral termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia mengetahui berkenaan Program Jelajah Kerjaya daripada bapa, Mohd Makhfuz Nokman Kushairi, 63, yang terlihat iklan program di media sosial.
“Sebagaimana pencari kerja lain, saya hadir ke program berkenaan dengan harapan mendapat pendedahan berkaitan syarikat yang menawarkan posisi bersesuaian minat dan kelulusan saya.
“Saya dapat panggilan pertama pada Oktober tahun lalu untuk sesi temu duga dan tiga minggu selepas itu untuk temu duga kedua,” katanya.
Katanya, selepas melepasi kedua-dua peringkat temu duga, dia dipanggil bertugas di makmal berkenaan di Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) pada awal Februari lalu.
“Skop pekerjaan saya sebagai penolong pegawai kimia di sini adalah menjalankan kerja berkaitan analisis kepekatan elemen mineral strategik seperti unsur nadir bumi dan silika, daripada proses penyediaan sampel sehingga analisis akhir.
“Saya juga terbabit membangunkan dokumen berkaitan pengoperasian makmal seperti metodologi pengoperasian, prosedur operasi standard (SOP) dan dokumen bagi tujuan pematuhan perundangan berkaitan,” katanya.
Mardeanna Aliah berterima kasih kepada PASAK selaku peneraju flagship Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia menerusi pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Program Jelajah Kerjaya membantu anak muda Perak seperti saya mencari pekerjaan sesuai dengan minat dan kemahiran kami.
“Konsep penganjurannya yang menghimpunkan pelbagai syarikat di satu lokasi memudahkan graduan dan pencari kerja, tanpa perlu pergi ke setiap syarikat untuk menghantar permohonan dan resume.
“Saya harap anak muda Perak memberikan sambutan kepada penganjuran Program Jelajah Kerjaya pada masa akan datang dan memanfaatkan inisiatif kerajaan negeri ini sebaiknya,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online