DARI kiri, Mohd Ramli, Saerah (Opah Yang), Marsya dan Normi menunjukkan dodol diusahakan mereka di Kampung Empai.

Pasir Salak: Tidak mahu makanan tradisional dodol luput ditelan zaman, membuatkan pasangan suami isteri, Normi Ramli, 53, dan Mohd Ramli Bakari, 64, pulang ke kampung mengusahakan juadah itu dengan jenama Dodol Opah Yang di Kampung Empai, dekat Kampung Gajah, di sini.

Normi selaku pemilik perniagaan, berkata berbekalkan resipi diwarisi daripada ibunya, Saerah Abdul Majid, 82, beliau bersama suami mengacau dodol menggunakan kawah dan dapur yang memakan masa sehingga lebih 10 jam dan memenatkan pada 2012.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, percubaan itu ternyata berbaloi apabila usaha mereka mendapat perhatian pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang memberikan pinjaman membina premis bersebelahan rumah berserta tiga mesin pengacau dodol.

“Maksimum kami boleh hasilkan sebanyak 70 kilogram (kg) dodol untuk sehari apabila sekarang kami mempunyai tiga perisa iaitu asli, pulut hitam dan durian.

“Tak berhenti di situ, saya juga hadiri kursus anjuran Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) untuk dapatkan pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pensijilan Makanan Sihat Tanggungjawab Industri (MeSTI). Alhamdulillah sekarang produk kita memiliki kedua-dua pengiktirafan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Dodol Opah Yang turut mengalami penurunan jualan mendadak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 lalu.

Mohd Ramli selaku pengurus perniagaan berkata, mereka bernasib baik apabila berjaya beradaptasi dengan norma ketika itu dengan peralih kepada aktiviti promosi dan jualan atas talian menerusi platform Shoppe dan TikTok.

Jelasnya, ia selepas didedahkan oleh Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Gajah serta Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah.

“Jualan dodol ‘online’ mula rancak apabila video ibu mentua saya menasihati orang ramai tentang bahaya Covid-19 menggunakan loghat Perak, tular di media sosial. Sejak itu orang di luar daerah ini mengenali Opah Yang dan perusahaan dodol keluarga kami.

“Anak ketiga kami, (Marsya Maisarah Mohd Ramli, 22) mainkan peranan besar untuk hasilkan kandungan di media sosial di samping membantu operasi kedai yang dibuka setiap hari, bermula 9 pagi sehingga 6.30 petang,” katanya memaklumkan profit perniagaan mereka kini meraih sehingga RM20,000 sebulan.

Pasangan berkenaan berterima kasih atas pendedahan diberikan pihak PEDi melalui flagship Ekonomi Digital Negeri Perak dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta inisiatif 1 Dewan Undangan Negeri (DUN) 1 PEDi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mohd Ramli berkata, mereka juga sedang mula mengusahakan kafe kopi bersebelahan kediaman mereka di Kampung Empai, di sini yang beroperasi 3.30 petang hingga 10 malam.

Sumber : Harian Metro Online