DENDANG Anak Perak menggabungkan instrumen tradisional seperti seruling, rebana, gong, darbuka dan jidor bersama instrumen moden seperti gitar dalam persembahan. FOTO Ihsan Farul Hisham Abdul Halim

Ipoh: Tidak rela membiarkan muzik Melayu Nusantara lenyap ditelan zaman, kumpulan Dendang Anak Perak kekal membawakan 500 lagu di majlis keramaian sejak penubuhannya pada 2010.

Mereka yang terdiri daripada 15 anggota yang semuanya terdiri daripada penduduk kampung berbusana Melayu klasik lengkap sambil bermain alat musik tradisional seperti seruling, rebana, gong, darbuka dan jidor.

Ketuanya, Farul Hisham Abdul Halim, 45, berkata, idea penubuhan serta penciptaan sejumlah 500 buah lagu kumpulan itu sebenarnya adalah legasi peninggalan Allahyarham pengasas Dendang Anak Perak yang dikenali sebagai Abang Ku.

Farul Hisham atau mesra disapa sebagai Tok Lingga berkata, keistimewaan lagu itu terletak kepada seni halus dalam penciptaan lirik bersendikan tujuh elemen muzik Melayu iaitu inang, asli, zapin, canggung, rambung, bayun dan masri.

“Pemilihan lagu akan disesuaikan mengikut majlis, contohnya lagu Selamat Pengantin Baru, Jodoh, Gila Nak Kawin, Seloroh Perak pada majlis perkahwinan.

“Lagu berelemen asli…kebiasaanya untuk menyentuh jiwa dan melahirkan perasaan tenang, contohnya lagu Syair Diraja dan Warna Perak.

“Jika majlis perasmian itu melibatkan penyatuan bangsa kita akan mainkan Melayu Sejati, Usul Bangsa, Barisan Panji, Janji Malam Keramat, di samping lagu perpaduan seperti Gabungan Antara Benua,” katanya memaklumkan setiap lagu menyampaikan mesej khusus seperti ketuhanan, nasihat dan ketertiban serta lagu rakyat yang menghiburkan.

Mengakui tugas mendidik pelapis baru tidak mudah, Farul Hisham berkata, kumpulan itu berlatih secara berkala di sebuah studio muzik di Teluk Intan bagi memastikan mutu persembahan mereka berada pada tahap terbaik serta meninggalkan memori indah kepada penonton.

Beliau berkata, pengiktirafan terbesar pernah dirasai mereka adalah ketika dipilih oleh agensi kreatif negeri, PORT (People Of Remarkable Talents) bagi mewakili Malaysia ke Festival Drum dan Seni Tradisional Antarabangsa di Mesir pada 2014 lalu yang menghimpunkan 45 peserta dari pelbagai negara.

PORT antara peneraju segmen Semarak Warisan menerusi flagship Ekonomi Pengalaman dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Farul Hisham berkata, pihaknya kini giat melaksanakan memasarkan khidmat seni persembahan Dendang Anak Perak melalui platform media sosial seperti Facebook dan TikTok bagi memastikan usaha mengangkat seni warisan bangsa tidak malap.

“Kami menerima jemputan bagi pelbagai acara termasuklah majlis perkahwinan, majlis perasmian juga acara rasmi lain,” katanya.

Source : Harian Metro Online