Penulis lirik, Hairul Anuar kini giat mengadakan bengkel untuk berkongsi ilmu.- Foto Facebook Hairul Anuar

IPOH: Nama Hairul Anuar Harun dalam dunia muzik tempatan bukanlah asing kerana beliau sudah menulis lebih 200 lirik lagu yang didendangkan beberapa penyanyi terkenal tanah air.

Lirik lagu Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Hati Kama (duet Siti Nurhaliza & Noraniza Idris) serta Yayadan (Datuk Sharifah Aini); antara karya dihasilkannya.

Hairul Anuar, 48, juga pernah mengecapi kejayaan besar apabila lagu Cindai diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1998, selain lirik lagu Balqis nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menjuarai AJL 2000.

Bagaimanapun, beliau pernah menyatakan hilang minat untuk terus berkarya dan bercadang beralih bidang lain, berikutan kecewa dengan pelbagai pihak yang enggan membayar lirik ciptaannya.

Kini, Hairul Anuar berjuang dalam bidang seni dengan bergiat mengadakan bengkel penulisan lirik.

Namun, katanya tidak mudah untuk mengadakan bengkel bagi menyemai ilmu serta bakat terpendam berkaitan bidang itu, khususnya dari sudut kos pengurusan dan operasi.

“Mujurlah saya ada menerima RM3,000 melalui inisiatif Dana Kreatif Perak@PORT iaitu skim bantuan seni bersistematik yang memberi keutamaan kepada pengkarya dan golongan usahawan bidang kreatif kelahiran Perak atau mereka yang telah bermastautin di Perak lebih daripada lima tahun.

“Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk terus menyemai ilmu menerusi bengkel diadakan,” katanya kepada BH.

Menurutnya, pemberian dana menerusi PORT (Penjenamaan semula Kampung Karyawan Amanjaya) selaku agensi kreatif di bawah kerajaan negeri Perak wajar diteruskan.

“Saya sudah biasa mengadakan bengkel seumpama ini di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Selangor. Pada Mac lalu, kali pertama saya mengadakan bengkel di Perak, walaupun sebelum ini saya tiada sebarang pembabitan bersama PORT.

“Melalui PORT, saya lihat Perak adalah antara negeri yang aktif menyemai kreativiti karyawan,” katanya.

Hairul Anuar tidak menafikan, PORT adalah perkara baharu buatnya kerana sebelum ini beliau banyak memohon dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan sebagainya.

PORT yang juga akronim kepada People of Remarkable Talent juga adalah antara agensi peneraju flagship ke-10 Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah segmen Semarak Warisan.

Katanya, berdasarkan pengalaman dana kreatif yang dimohon lazimnya sukar diperoleh jika permohonan dibuat kepada negeri kerana ia akan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) cawangan negeri yang tertakluk di bawah peruntukan disalurkan kepada ibu pejabat induk jabatan itu di ibu kota.

“Memandangkan saya selalu buat bengkel jadi saya hantar saja kertas kerja permohonan dana dan kebetulan PORT menerima, jadi saya mengadakan bengkel itu mengikut bajet yang diberikan.

“Alhamdulillah saya mengajar di sebuah institut pendidikan guru dan sambutannya menggalakkan. Mungkin nanti ada antara bakal guru berkenaan akan keluar mengajar muzik dan juga sastera kepada anak kita nanti,” katanya yang juga pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Kuala Lumpur.

Lahir di Pulau Pinang namun membesar di Batu Kurau, Perak, Hairul Anuar, berkata baginya bakat, pengalaman dan ilmu perlu seiring agar mesej dalam karya diketengahkan melalui bait lirik yang ditulis, dapat disampaikan secara baik kepada audien.

“Sebab itu, walaupun giat dengan sesi bengkel, saya masih lagi belajar sampai sekarang iaitu peringkat doktor falsafah dalam bidang Peradaban Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Saya juga berharap, selain menyemai bakat, bengkel yang saya adakan mungkin juga mampu menjana peluang pekerjaan. Pada saya bakat, pengalaman, dan ilmu perlu seiring,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online