MOHD. AZMAN (kanan) bergambar di dalam studio rakaman milik kumpulan Indonesia, Dewa 19.
IPOH – Minat mendalam dalam bidang muzik bawah tanah atau underground berjaya mengangkat nama Mohd. Azman Anzaruddin sebagai pemuzik dan pereka grafik.
Paparan grafik pada kulit kaset muzik aliran metal ketika awal tahun 1990-an telah mencetuskan idea kepada beliau untuk melukis secara kreatif.
“Saya mengambil inspirasi karya seni kaset kumpulan muzik luar negara. Dari situ, saya jatuh hati pada bidang seni dengan menghasilkan lagu atau membuat lukisan kreatif.
“Dua minat ini bergerak seiring daripada bentuk lakaran atas kertas kepada grafik dalam komputer. Pada lewat 1990-an, saya mengambil jurusan Diploma Seni Reka Grafik. Sejak itu, saya teruskan minat tersebut sehingga kini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Anak kelahiran Tanjung Rambutan yang bersekolah dan membesar di Ipoh itu menggunakan nama pena Azmaniac dengan sebahagian hasil kerja dikongsikan di lman Facebook.
Mohd. Azman turut menghasilkan buku berjudul SEN(az)MAN – Dokumentasi Seniman Grafik, Lulusan Dunia Belum Akhirat.
Mengulas mengenai karya seni grafik, Mohd. Azman memberitahu, dia pernah terlibat dalam penghasilan kandungan kreatif album atau poster kumpulan muzik terkenal dalam dan luar negara antaranya Sil Khannaz, Infectious Maggots, ACAB, Impiety dari Singapura, Trauma serta Dewa 19 dari Indonesia.
“Buat masa sekarang, selain memproses sesuatu rekaan, saya juga bertindak selaku pencetak. Maksudnya dari mula sehinga siap dari segi rekaan sehingga ke peringkat cetakan. Baik dalam bentuk buku, cakera padat dan piring hitam,” katanya.
Mohd. Azman, 48, turut menjadikan beberapa orang pelukis seperti Pushead, Michael Whelan, Dan Seagrave, Edward J. Repka sebagai inspirasi buat dirinya.
“Seni banyak membawa saya berjalan. Antara kisah manis adalah bermain gig atau festival di Indonesia, berpeluang membuat rakaman dalam studio Ahmad Dhani di Jakarta, dibawa oleh kru Dewa 19 untuk melihat proses produksi konsert mereka di belakang tabir,” katanya.
Kreativiti anak tempatan itu turut dihargai kerajaan negeri Perak yang menyalurkan Dana Kreatif Perak@Port kepadanya.
“Ini pengiktirafan yang sangat luar biasa. Dana itu membantu merangsang pasaran selain memperkasa reputasi sebagai pereka grafik dan paling utama, mengangkat hasil kerja anak seni kepada kedudukan yang sepatutnya,” katanya.
Dana Kreatif Perak@Port merupakan satu skim bantuan seni yang bersistematik dengan memberi keutamaan kepada para pengkarya dan golongan usahawan dalam bidang kreatif yang merupakan anak Perak.
Port yang juga akronim kepada People of Remarkable Talent juga adalah antara agensi peneraju flagship kesepuluh Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah segmen Semarak Warisan.
Sumber : Kosmo Online