Orang ramai menikmati persembahan daripada salah satu kumpulan pemuzik yang melakukan persembahan pada PKL tahun lalu.
LUMUT – Kejayaan penganjuran Pesta Karya Lumut (PKL) 2022 yang berjaya menarik 5,000 pengunjung tahun lalu adalah hasil sumbangan Dana Kreatif Perak@PORT. PKL 2022 diadakan bermula 12 hingga 20 Mac di Laman Karya Lumut (Lakar) di sini.
Pengarah PKL, Mohd. Najmi Jamaluddin berkata, kejayaan penganjuran pesta bagi penggiat seni berkenaan adalah susulan penganugerahan geran bernilai RM8,000 oleh skim bantuan di bawah kerajaan negeri Perak tersebut.
“PKL yang dianjurkan telah menelan belanja kira-kira RM15,000, jadi geran diterima itu telah membantu kami selaku penganjur untuk membayar kira-kira dua pertiga kos keseluruhan yang perlu ditanggung.
“Antara perkara yang berjaya dilaksanakan menerusi geran berkenaan adalah mendapatkan peralatan penting bagi PKL seperti sistem pembesar suara dan lampu limpah yang diletakkan di pekarangan Lakar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dana Kreatif Perak@PORT merupakan satu skim bantuan seni yang bersistematik dengan memberi keutamaan kepada para pengkarya dan golongan usahawan bidang kreatif kelahiran Perak atau mereka yang telah bermastautin di negeri ini lebih daripada lima tahun.
Antara syarat permohonan ialah individu perlu menghasilkan produk atau menjalankan projek berkaitan seni kreatif tempatan dengan memberi keutamaan kepada kombinasi elemen tradisional dan moden atau kontemporari selain elemen rentas disiplin lebih daripada dua bidang.
Pelbagai program dilaksanakan pada PKL 2022 antaranya pameran produk kraf, penjualan kraftangan seperti baju-T, gelang, pengikat rambut dan beg tote selain dimeriahkan dengan persembahan artis indie tempatan seperti Deepset, Margasatwa, Rohas Remi, Miura dan Raksar.
Pada masa sama, Mohd. Najmi berkata, mereka turut menerima dana tersebut tahun ini sebanyak RM4,000 bagi menjayakan bengkel seni sempena PKL 2023 yang bermatlamat menyemarakkan seni budaya dan pelancongan yang lestari.
“Bengkel itu akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Universiti Malaya (UM) pada 2 September dan memberi pendedahan kepada peserta cara-cara untuk memasarkan produk berasaskan ekopelancongan dan melestarikan alam sekitar,” katanya.
Selain itu, katanya, PKL 2023 yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 September itu dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung memandangkan pihaknya melakukan hebahan awal berkenaan acara berkenaan.
Tambahnya, dia beserta penggiat seni tempatan berpandangan dana tersebut adalah baik dan membantu pembangunan serta pemain industri seni, sekali gus membuka peluang mereka meneroka pasaran berkaitan.
Sumber : Kosmo Online