Nor Aida (dua dari kanan) memberi bimbingan kepada penerima Biasiswa YAB Menteri Besar iaitu Lee Jia Yan (kiri), Cheah Min (dua dari kiri) dan Nur Aisyah (kanan) di SMK King Edward VII, Taiping baru-baru ini.
TAIPING – Biasiswa YAB Menteri Besar telah banyak membantu meringankan beban 17 pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII di sini, dalam menampung kos sepanjang pengajian.
Pelajar Tingkatan Enam Pra-U 2 Matematik di SMK King Edward VII, Lim Cheah Min, 20, berkata, biasiswa bernilai RM1,200 yang diterima pada Januari lalu telah banyak membantunya.
Menurutnya, majoriti perbelanjaannya digunakan untuk menyempurnakan kertas-kertas kerja yang diperlukan dalam pengajiannya termasuk menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya memang lega menerima bantuan ini kerana pada masa sama ia dapat meringankan beban ayah (Lim Pheng Huat, 57), yang bekerja sebagai seorang mekanik, manakala ibu (Chan Poh Sin, 55) pula suri rumah.
“Kira-kira 50 peratus biasiswa ini telah digunakan dan saya mahu menyimpan bakinya untuk menyambung pengajian nanti,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang lagi penerima biasiswa, Nur Aisyah Razak, 20, berkata, bantuan kewangan daripada kerajaan negeri itu ternyata membantu pelajar terutamanya golongan B40.
Pelajar Pra-U 2 Bahasa Melayu itu memberitahu, ada pelajar yang terpaksa bekerja sambilan bagi menampung pembelajaran ketika berada di tingkatan enam.
“Jadi dengan adanya biasiswa ini, mereka tidak perlu lagi menghabiskan masa mencari wang tambahan. Ia membolehkan waktu terluang digunakan untuk mengulang kaji,” ujarnya.
Penyelaras Kokurikulum Pra-U SMK King Edward VII, Nor Aida Abdul Mutalib pula berkata, seramai 17 pelajar tingkatan enam sekolah berkenaan menerima Biasiswa YAB Menteri Besar.
Katanya, proses saringan pelajar berkenaan dibuat di bawah Penolong Kanan Pra-U sekolah itu sebelum pihak kerajaan negeri membuat pemilihan.
“Kita memang berterima kasih dengan kerajaan negeri kerana memilih semua pelajar berkenaan sebagai penerima Biasiswa YAB Menteri Besar. Ia bertepatan dengan
Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah pelan Perak Sejahtera 2030.
“Di bawah program flagship ini, ternyata kerajaan negeri memberi perhatian kepada pelajar yang memerlukan,” ujarnya.
Sumber : Kosmo Online