KERJA melukis mural di pekan Beruas sebagai port baharu pelancong merakam foto di pekan bersejarah itu. – Gambar Ihsan MPM
Manjung: Daerah Manjung yang berkeluasan 116,800 hektar atau 1168.9 kilometer persegi menyimpan pelbagai keunikan merentas zaman seperti tinggalan sejarah Gangga Negara di pekan Beruas, selain lebih lapan pantai pelancongan popular.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat perlombongan terkemuka, Vale yang memperuntukkan RM5.6 juta bagi menyokong agenda pembangunan bandar lestari melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kerjasama sehingga 2025 itu merangkumi beberapa projek strategik seperti pembangunan semula bandar berteraskan elemen warisan di Beruas, penambahbaikan prasarana pelancongan di Teluk Batik dan pembangunan ekosistem kebun bandar yang moden di kejiranan sekitar daerah Manjung.
Menurutnya, pemilihan Beruas sebagai lokasi perintis dalam kerjasama Vale bersama pihaknya adalah berdasarkan sejarah yang bernilai di pekan berkenaan.
“Beruas mempunyai landskap budaya yang unik, muzium arkeologi yang signifikan, komposisi penduduk yang berbilang kaum dan suasana indah yang menggamit nostalgia.
“Dengan pembukaan Seksyen 11 Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Beruas ke Taiping Selatan menjelang April nanti, pekan Beruas berpotensi besar untuk tampil sebagai antara produk pelancongan yang menarik bersesuaian dengan penganjuran Tahun Melawat Perak 2024.
“Pantai Teluk Batik pula akan ditambahbaik melalui pembinaan arca unik dan tarikan lain bagi menjadikannya destinasi menarik bagi pelancong dan keluarga berkunjung,” katanya.
Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman antara MPM bersama Vale yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva berlangsung pada 10 November tahun lalu.
Sementara itu, Paiva berkata, pihaknya teruja untuk memulakan kerjasama bersama MPM bagi meningkatkan tahap kemajuan daerah Manjung melalui projek berteraskan komuniti yang membawa nilai tambah jangka panjang kepada segenap lapisan masyarakat.
“Pantai Teluk Batik terletak bersebelahan dengan Pusat Ekologi Vale (VEC), sebuah hab konservasi hutan yang dimiliki sepenuhnya oleh Vale. Sejak Oktober 2022, pusat ekologi ini melalui fasa penambahbaikan secara beransur-ansur yang membabitkan pelaburan RM5 juta dari Vale.
“Kami mengenal pasti banyak potensi yang boleh diraih sekiranya Pantai Teluk Batik boleh dihubungkan dengan VEC sebagai produk pelancongan yang berintegrasi di masa hadapan.
“Banyak impak positif boleh dijana untuk pengusaha hotel dan peniaga kecil tempatan, sekiranya daya tarikan kedua-dua destinasi ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Syamsul Hazeman menjelaskan, jalinan kerjasama bagi membangunkan kawasan pelancongan itu bagi menyahut seruan kerajaan negeri bagi menjayakan flagship Ekonomi Pengalaman dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad melalui segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha pembangunan ekosistem kebun bandar yang moden melalui Program Kebun Komuniti Bandar yang digerakkan juga selari dengan flagship Keterjaminan Makanan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
“Bukan sahaja penduduk bandar boleh menjimatkan kos sara hidup dengan menghasilkan makanan sendiri, malah dapat memupuk minat anak muda terhadap bidang pertanian yang penting kepada rantaian makanan negara.
“Peserta program juga boleh memanfaatkan cara guna tanah serta mendapat pendedahan mengenai agensi kerajaan yang boleh dirujuk bagi mendapatkan hasil tanaman yang berproduktiviti tinggi serta berkualiti,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online