Penubuhan akademi di USAS dibuat secara berfasa antaranya melalui pulangan keuntungan menerusi dana RM20 juta disalurkan Perak SADC.
KUALA KANGSAR: Keterjaminan atau sekuriti makanan bukan hanya mempunyai makanan mencukupi, namun mencakupi dapatan akses kepada makanan berkhasiat, selamat dan boleh diterima dari segi budaya serta merangkumi keupayaan memperoleh melalui cara berbeza.
Ini termasuk pengeluaran, perdagangan dan pengedaran serta keupayaan menggunakan dan memelihara makanan secara berkesan, selain keupayaan bertahan dan pulih daripada ketidaktentuan seperti bencana alam atau krisis ekonomi tanpa menjejaskan akses makanan atau pemakanan.
Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof, berkata secara asas penubuhan akademi sekuriti makanan kelolaan kerajaan negeri di USAS tidak hanya bertumpu kepada penghasilan makanan, sebaliknya menjadi pusat penyelidikan, pembangunan teknologi dan pengumpulan data berkaitan pertanian.
Menurutnya, penubuhan akademi dicadangkan di kawasan tanah seluas 101 hektar milik USAS di Manong, di sini dan bakal dikenali sebagai Makmal Industri Pertanian USAS (UAIL). Ia berkonsepkan pusat inkubasi pertanian dan majlis pecah tanah dijangka dibuat tahun ini.
Wan Sabri berkata, USAS akan menguruskan operasi serta sebagai penjaga akademi ini, manakala Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang turut berperanan penubuhannya adalah pemberi dana.
Sementara, rakan industri platinum dan Institut Darul Rudzuan (IDR) berfungsi sebagai cabang perundingan negeri.
Beliau berkata, akademi sekuriti makanan itu bukan hanya menyentuh aspek pengeluaran makanan, sebaliknya turut berkaitan teknologi seperti dalam hal pembiak bakaan diamalkan di negara jiran dan pengumpulan segala data pertanian bagi membantu menyelesaikan masalah manipulasi harga makanan di pasaran.
“Data diperoleh, dapat membantu kita mengawal jumlah pengeluaran hasil pertanian, pada masa sama, membolehkan kawalan harga dibuat. Contohnya, apabila kerajaan menggalakkan import ketika harga naik untuk menurunkan harga, hal itu boleh dipantau melalui data.
“Ketika ini pengeluaran pertanian berdasarkan andaian, namun dengan adanya pusat pengumpulan data yang mungkin mengadaptasikan teknologi AI (kecerdasan buatan) selain berpandukan penyelidikan saintifik, maka kita boleh merancang pengeluaran makanan kita sendiri,” katanya kepada BH.
Menurutnya, perancangan sebegitu turut diyakini membolehkan harga makanan stabil di pasaran berikutan bekalan yang sentiasa ada.
Katanya lagi, penubuhan akademi sekuriti makanan itu sebahagian besarnya mengguna pakai inspirasi model Institut Pertanian Bogor (IPB) di Indonesia.
Ini berikutan, model inkubasi dibangunkan IPB dianggap menyeluruh kerana meliputi pembabitan bukan hanya kakitangan dan tenaga pengajar institusi itu malah komuniti setempat.
“Selain IPB, kita juga akan mengadakan beberapa siri kunjungan ke institut lain. Penubuhan akademi di USAS ini akan dibuat secara berfasa, antaranya melalui pulangan keuntungan menerusi dana bernilai RM20 juta yang disalurkan Perak SADC.
“Ia bertujuan untuk dilabur dengan jangkaan pulangan RM1.2 juta atau enam peratus setahun untuk lima tahun,” katanya.
Penubuhan akademi sekuriti makanan adalah antara langkah menggerakkan Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Agenda ini terdapat dalam program flagship Lembah Bakul Makanan bertujuan memastikan ketersediaan kuantiti makanan mencukupi serta berkualiti dibekalkan melalui pengeluaran untuk kegunaan domestik dan import melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan.
Sumber : Berita Harian Online