WAN ZAHIDI WAN TEH

IPOH: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan fahaman dan ajaran yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad atau SiHulk sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-221 yang bersidang pada 9 hingga 11 Disember 2020.

“Antara penyelewengan yang dibawakan ajaran tersebut ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan dan baginda merupakan seorang yang tidak mempunyai jantina iaitu bukan lelaki dan juga bukan perempuan.

“Ajaran itu juga menyeleweng tafsiran al-Quran iaitu pada huraian Surah Taha ayat 120 dan Surah Al-Baqarah ayat 35 berkenaan larangan kepada Nabi Adam dan Hawa daripada memakan buah khuldi.

“Menurut ajaran itu, buah khuldi yang menjadi larangan untuk dimakan di dalam syurga adalah buah zakar dan buah dada,” katanya di sini hari ini.

Wan Zahidi berkata, ajaran itu turut membuat penipuan mengenai khasiat air dan botol SiHulk dengan mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat pembeli.

Katanya, menerusi laman Facebook Sohai Ibnu Mohammad dan SiHulk, dikatakan kotak SiHulk adalah peti Tabut yang pernah diberikan Allah kepada Talut seperti mana surah Al-Baqarah ayat 248 yang diselewengkan maknanya.

“Ajaran itu juga mendakwa SiHulk ialah air hayat iaitu air yang dicari Iskandar Zulkarnain tetapi diperoleh Nabi Khidir menjadikan baginda mampu hidup sehingga hari kiamat.

“Malah, air itu juga didakwa mampu menyembuhkan pelbagai wabak penyakit zahir dan batin serta menghalang sihir.

“Selain itu, air tersebut didakwa dibeli sendiri daripada Nabi Muhammad SAW dan ramai ahli yang meminumnya bermimpi bertemu baginda,” katanya.

Tegas beliau, ajaran dan fahaman yang dibawa Suhaini Bin Mohammad perlu segera disekat daripada disebarkan kepada umat Islam di negara ini.

“Mana-mana orang Islam adalah dilarang untuk berpegang, beramal atau terlibat dengan fahaman dan ajaran ini.

“Mereka yang telah mengamalkan fahaman atau beramal dengan ajaran ini, hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini, beberapa kandungan video berkaitan rakaman pengikut SiHulk kembali tular di media sosial di mana mereka membawa naratif baharu bahawa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Antara penyelewengan ajaran sesat itu ialah mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, menafsir sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.

Sumber : Utusan Online