Laporan BH Online bertarikh 2 Ogos 2023 mengenai kes wanita sebar klip video disunting daripada bahagian kecil titah Sultan Perak kononnya baginda memihak politik kepartian disiasat sebagai kes 3R.

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung klip video disunting daripada bahagian kecil titah Sultan Perak untuk mengaitkan baginda dengan politik kepartian sudah lengkap dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata AGC bagaimanapun mengarahkan polis menyiasat lanjut berkait beberapa perkara dan pihaknya kini sedang menyambung siasatan kes berkenaan.

“Masih dalam siasatan kita, selepas edaran (kertas siasatan) kepada AGC semalam, terdapat arahan siasatan (daripada AGC) untuk dilengkapkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Polis selesai merekod keterangan wanita berusia 46 tahun itu petang kelmarin di Balai Polis Cyberjaya, namun individu berkenaan tidak ditahan.

Pejabat Sultan Perak sebelum ini membuat laporan polis berhubung video yang ditularkan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.

Pada 31 Julai lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sebanyak 20 laporan diterima pihak berkuasa itu berhubung video berkenaan yang disunting hingga dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tujuan politik kepartian.

Jumlah terkini laporan diterima polis ialah 24 dan kes diklasifikasikan sebagai kes 3R kerana mewujudkan sentimen menyentuh institusi diraja. Selain institusi diraja, 3R juga merujuk kaum dan agama.

Menerusi video itu, wanita berkenaan yang dipercayai pemimpin sayap Wanita PAS sebuah negeri, cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap PAS.

Sumber : Berita Harian Online