IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui beliau kini mengambil alih tugas sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Menurut Saarani, kehadirannya hampir setiap hari di kawasan itu bertujuan memastikan kebajikan rakyat tidak terabai sementara menunggu wakil rakyat baharu dipilih.
“Oleh kerana rakyat di Ayer Kuning kehilangan wakil rakyat mereka, maka sayalah yang perlu mengambil alih tugas tersebut. Segala masalah yang sebelum ini mereka adukan kepada Allahyarham, kini mereka salurkan kepada saya.
“Jadi, saya turun padang sebagai galang ganti kepada kehilangan itu dan dalam masa yang sama saya juga sedang mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Dewan Belia Negeri Perak Sesi 2025/2026 di Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Saarani berkata, jentera parti juga sedang dipersiapkan bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, gerak kerja PRK sudah dimulakan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi tersebut.
Sementara itu, Saarani turut memaklumkan persidangan Dewan Belia Negeri Perak bagi sesi kelima dijadual bersidang pada Julai tahun ini dan pencalonan juga telah dibuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 30 tahun untuk menjadi perwakilan.
Menurutnya, jumlah perwakilan Dewan Belia kali ini ditambah kepada 63 orang berbanding sebelum ini, bagi memberi peluang lebih ramai belia menyuarakan pandangan mereka dalam membangunkan negeri.
“Kerajaan negeri juga telah meningkatkan peruntukan Dewan Belia kepada RM600,000 tahun ini berbanding RM400,000 pada tahun lalu.
“Kita juga menambah empat kuota khas untuk agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negeri, bagi memastikan lebih banyak isu belia dapat ditangani secara efektif,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai belia yang layak akan mengambil peluang untuk menjadi sebahagian daripada Dewan Belia Perak, kerana platform itu membolehkan mereka menyuarakan idea dan aspirasi kepada kerajaan negeri.
Sumber: Sinar Harian