NEGARA pada November lalu menyaksikan bermulanya operasi kilang minyak sawit pintar pertama dipacu kecerdasan pertama (AI) di dunia.

Pelancarannya di Minsawi Industries di Kuala Kangsar, Perak menandakan satu langkah penting bagi sektor minyak sawit di Malaysia.

Kemudahan pintar itu menangani isu biasa dihadapi dalam industri pertanian tersebut dengan memanfaatkan teknologi canggih seperti penyelenggaraan ramalan dan sistem kawalan berkuasa AI ke dalam proses pengeluaran. 

Cabaran utama yang cuba diatasi tersebut kebergantungan terhadap tenaga buruh, peningkatan kos, ketidakcekapan dan kebimbangan alam sekitar.

“Penggunaan AI bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan bagi industri minyak sawit Malaysia untuk terus berdaya saing,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Artificial Intelligence Robotics Engineering Industries (AIREI), Surendran Kuranadan, syarikat yang merintis kepada penyelesaian dipacu AI.

Berpangkalan di Malaysia dan India, AIREI mempunyai pengkhususan dalam analisis data raya, AI, kebolehkesanan rantaian bekalan, teknologi rantaian fabrik hyperledger dan pembangunan robotik tersuai, dengan tumpuan unik pada penyelesaian minyak sawit melalui platform perisian selamat.

Pengalaman keluarga

Bagi Surendran, lebih sedekad pengalaman dalam industri minyak sawit, keputusan bagi membangunkan inovasi dalam sektor tersebut tercetus daripada pendedahan yang diperoleh semasa kecil.

“Membesar di ladang kelapa sawit dan menyaksikan warisan keluarga dalam sektor itu membentuk hubungan awal saya dengan industri.

“Dari masa ke masa, hubungan ini berkembang menjadi semangat untuk memodenkan dan memajukan sektor minyak sawit negara.

“Sebagai salah satu pengeluar dan pengeksport minyak sawit terkemuka dunia, Malaysia mempunyai peranan penting dalam menerajui kemajuan dipacu teknologi mapan, katanya.

“Visi kami adalah untuk memacu industri minyak sawit negara ke barisan hadapan dalam inovasi global”

“Dengan memperjuangkan penyepaduan teknologi transformatif seperti AI dan robotik, kami berhasrat untuk mentakrifkan semula cara industri beroperasi sambil meminimumkan kesan alam sekitarnya,” ujarnya.

Penyelesaian utama AIREI, MyPalm, ialah platform perisian berasaskan awan untuk mudah alih dan web yang mengoptimumkan operasi merentasi rantaian bekalan minyak sawit.

Dengan sokongan pelbagai peringkat, daripada tapak semaian dan peniaga kepada kilang penghancuran isirong dan penapisan, platform tersebut menawarkan set alat komprehensif untuk memantau dan mengurus proses penyelenggaraan serta pengeluaran.

Penangan AI

Sebagai contoh, penderia lanjutan menyediakan pengesanan masa nyata suhu, tekanan dan prestasi mesin untuk membuat keputusan lebih baik.

“CCTV (kamera litar tertutup) berkuasa AI membantu memantau volum FFB (tandan buah segar) dan mengesan anomali, manakala sistem kawalan dipacu AI membantu mengautomasikan proses dan mengurus sumber untuk memastikan prestasi puncak berdasarkan analisis data langsung,” tambah Surendran.

Selain itu, algoritma pembelajaran mesin dan data penderia digunakan untuk mengurangkan masa henti pengeluaran dan meningkatkan kecekapan mesin.

Hasilnya, pengendali mempunyai akses kepada cerapan dan kawalan masa nyata untuk membuat keputusan lebih termaklum, dan penjimatan masa serta kos lebih besar hasil daripada proses diperkemas, sekali gus mengurangkan tugas manual dan meminimumkan kerugian minyak sawit.

Kilang pintar dipacu AI yang dilancarkan baru-baru ini di Kuala Kangsar telah pun menunjukkan hasil memberangsangkan.

“Dalam tempoh empat bulan sahaja, ia berjaya mengurangkan kebergantungan buruh asing sebanyak 33 peratus, menurunkan tenaga kerja daripada 66 kepada 44 pekerja dan menjimatkan RM1.1 juta gaji,” katanya.

Surendran berkata, keupayaan automasi kilang pintar itu membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugas lebih mahir.

“Peralihan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kekurangan buruh dalam industri, tetapi juga meningkatkan produktiviti keseluruhan.

“Selain itu, kilang itu mencapai penjimatan kos operasi sebanyak RM1.6 juta setahun.

“Dengan pelaburan RM5 juta dalam AI, sistem itu dijangka membawa pulang modal dalam tempoh dua tahun, selepas itu kilang terbabit akan terus beroperasi dengan kecekapan dipacu AI,” ujarnya.

AIREI juga telah menjadikan kemapanan sebagai keutamaan, memanfaatkan AI dan teknologi termaju untuk membantu mengurangkan kesan alam sekitar pengeluaran minyak sawit.

“Penyelesaian kami menggalakkan kecekapan tenaga, mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kebolehkesanan, menyumbang kepada masa depan lebih hijau untuk industri,” ujarnya.

Untuk mengembangkan lagi tawaran MyPalm, AIREI bekerjasama dengan syarikat teknologi Brazil, Fine Instrument Technology (FIT) untuk menggabungkan teknologi resonans magnetik SpecFIT-nya ke dalam platform.

“Penyepaduan ini meningkatkan kebolehkesanan, ketepatan dan kecekapan, mengukuhkan keupayaan kami untuk menangani cabaran industri,” kongsi beliau.

Dalam sektor yang sebahagian besarnya kekal pada kaedah operasi tradisional, Surendran percaya kejayaan kilang pintar berkuasa AI AIREI menandakan permulaan seruan kepada pemain minyak sawit untuk mula menerima perubahan dan inovasi.

Melalui penggunaan teknologi canggih inovatif, syarikat itu menyasarkan untuk mengubah industri, meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam amalan minyak sawit mapan.

“Dengan mengguna pakai penyelesaian dipacu AI seperti MyPalm, kami boleh meningkatkan kecekapan, meningkatkan kawalan kualiti dan memupuk kemapanan.

“Sudah tiba masanya untuk industri berkembang, mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar untuk masa depan lebih cerah,” katanya.

Sumber: Majoriti

en_USEnglish