KUALA LUMPUR – Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Perak paling tinggi diluluskan peruntukan setakat September lalu membabitkan 87 buah dengan nilai keseluruhan RM8.95 juta.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian peruntukan RM50 juta yang disalurkan kerajaan pada tahun ini.
Secara keseluruhan, setakat 30 September lalu, sebanyak 422 RIBI di seluruh negara disalurkan peruntukan membabitkan jumlah RM46.1 juta.
“Pada 2024, KPKT diperuntukkan sebanyak RM50 juta dan sehingga 30 September, kementerian ini menerima sebanyak 1,074 permohonan. Daripada jumlah itu, kita meluluskan 422 permohonan melibatkan peruntukan RM46.1 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang bertanyakan statistik permohonan dan kelulusan projek serta berapa jumlah yang dibelanjakan bagi program RIBI mengikut pecahan negeri bagi tahum 2023 dan tahun ini.
Aiman Athirah berkata, tahun lalu, KPKT meluluskan penyaluran peruntukan kepada 205 RIBI di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.8 juta.
Sumber: Kosmo