Perak berada pada kedudukan keempat menerima bilangan pelawat domestik tertinggi pada tahun 2023 iaitu seramai 17.1 juta orang berbanding14.6 juta orang, tahun lalu. Foto: Tourism Perak

PUTRAJAYA – Perak mempamerkan prestasi ekonomi berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.7 peratus atau RM82.6 bilion berbanding RM80.4 bilion yang dicatatkan tahun 2022.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Perak menyumbang sebanyak 5.3 peratus kepada KDNK negara.

“Pertumbuhan ekonomi negeri ini dipacu oleh sektor Perkhidmatan yang berkembang 3.0 peratus didorong oleh subsektor berkaitan pelancongan iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.

“Bagi prestasi KDNK per kapita, Perak merekodkan RM37,170 pada tahun 2023, meningkat berbanding RM37,080 tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan berkaitan Laporan Sosioekonomi Negeri Perak 2023.

Menurut beliau, Perak berada pada kedudukan keempat menerima bilangan pelawat domestik tertinggi pada tahun 2023 iaitu seramai 17.1 juta orang berbanding14.6 juta orang, tahun lalu.

“Antara destinasi tumpuan utama pelawat domestik di negeri ini adalah Pulau Pangkor, Lost World of Tambun dan Teluk Batik.

“Pada masa sama, Perak juga menerima bilangan pelancong domestik keempat tertinggi iaitu seramai 7.50 juta orang berbanding 6.87 juta pada tahun 2022.

Beralih ke aspek pelaburan, Mohd Uzir berkata, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan Perak berjaya menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM8.5 bilion, merangkumi RM6.4 bilion pelaburan domestik serta RM2.1 bilion pelaburan asing pada tahun 2023.

“Sektor Pembuatan yang merupakan penyumbang kedua ekonomi Perak dengan menerima pelaburan yang menggalakkan bernilai RM2.7 bilion, merangkumi RM1.9 bilion pelaburan asing serta RM800.1 juta pelaburan domestik.

“Suntikan pelaburan ini dilihat berupaya merancakkan ekonomi setempat seterusnya mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Tambah beliau, pasaran buruh di negeri itu terus mengukuh apabila 1.15 juta orang tenaga buruh direkodkan tahun lalu.

“Angka itu meningkat 2.7 peratus berbanding tahun sebelum (1.12 juta orang) dengan bilangan penduduk bekerja juga bertambah kepada1.1 juta orang (2022: 1.07 juta orang).

“Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) turut meningkat sebanyak 0.6 mata peratus iaitu daripada 65.4 peratus kepada 66.0 peratus pada tahun 2023.

“Pada masa sama, kadar pengangguran menunjukkan prestasi lebih baik, iaitu kepada 3.9 peratus daripada 4.4 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata, jumlah perdagangan yang direkodkan di Perak tahun 2023 adalah bernilai RM66.2 bilion.

Tambah beliau, jumlah itu turut menyusut 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai eksport dan import masing-masing RM32.4 bilion dan RM33.8 bilion.

“Antara eksport barangan utama negeri itu adalah kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori yang bernilai RM4.8 bilion, litar elektronik bersepadu (RM4.0 bilion) dan sarung tangan getah (RM2.7 bilion).

“Destinasi eksport utama Perak pada 2023 adalah Amerika Syarikat dengan jumlah eksport bernilai RM7.4 bilion diikuti China (RM5.5 bilion) dan Singapura (RM2.2 billion) manakala import barangan utama Perak adalah kristal piezo elektrik dan alat ganti yang bernilai RM4.4 bilion diikuti oleh litar elektronik bersepadu (RM2.1 bilion) dan kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori (RM1.1 bilion).

“Sumber import utama Perak adalah daripada Indonesia (RM7.0 bilion), China (RM6.0 bilion) dan Brazil (RM3.8 bilion),” katanya.

Jelas beliau lagi, inflasi Perak turut mereda kepada 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2022 dengan mata indeks 126.4 (2022: 123.0).

“Secara keseluruhan, peningkatan ini disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel (5.9%), makanan dan minuman (4.8%), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (3.8%), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.3%) serta Pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 2.2 peratus,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, penduduk Perak meningkat daripada 2.51 juta orang pada tahun 2022 kepada 2.54 juta orang pada 2023 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 1.0 peratus.

“Daerah Kinta mempunyai bilangan penduduk tertinggi iaitu seramai 908,900 orang manakala Selama merekodkan bilangan penduduk terendah iaitu 34,800 ribu orang.

“Majoriti penduduk berada di dalam kumpulan umur bekerja iaitu antara 15 hingga 64 tahun, meliputi 68.5 peratus. Ini diikuti oleh kumpulan umur muda iaitu berumur antara 0 hingga 14 tahun (21.8%) dan selebihnya berada dalam kumpulan umur tua sebanyak 9.7 peratus,” katanya.

Sumber : Sinar Harian