PARA peserta tekun melihat cara-cara penyediaan makanan menerusi kursus jangka pendek yang ditawarkan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Negeri Perak baru-baru ini.
IPOH – Seorang suri rumah tersenyum lega apabila berjaya meraih pendapatan RM1,500 sebulan menerusi hasil jualan sandwic di sekitar Beruas di sini, sekali gus membantu menambah pendapatan keluarganya.
Menurut Hasida Saad, 41, pendapatan itu diraih selepas mengikuti kursus jangka pendek penyediaan sandwic ditawarkan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak.
“Menerusi program itu, saya kini lebih berpengetahuan tentang penyediaan makanan dan mampu membantu suami, Mohd. Rizal Abd. Aziz, 43, yang bekerja sebagai penoreh getah di Gerik.
“Alhamdulillah, saya dapat meraih sekitar RM1,500 dan jumlah itu dapat membantu kami dalam melunaskan komitmen bulanan keluarga seperti bil elektrik serta air,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata, program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak berjaya membantu kira-kira 150 golongan miskin tegar mengubah nasib menerusi kursus jangka pendek.
Beliau berkata, antara kursus bersifat ‘quick win’ yang ditawarkan ialah penghasilan mi kuning, selenggara penyaman udara, penyediaan surprise bouquet dan penyediaan aiskrim Malaysia.
“Kursus selenggara dan penggunaan mesin rumput turut ditawarkan dengan peserta diberikan sebuah mesin rumput bagi pencarian pendapatan,” katanya.
Tambahnya, program berkenaan selaras dengan Flagship 6: Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan Pejabat Pembangunan Negeri Perak dilantik bagi menerajui flagship itu.
Jelasnya, program rintis yang pertama telah diadakan di Dewan Merdeka, Seri Manjung pada 11 November 2023 membabitkan 1,500 orang peserta terdiri daripada kumpulan miskin dan miskin tegar eKasih.
“Program OSC kedua dilaksanakan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Taiping pada 24 Februari 2024 membabitkan lebih 1,700 orang peserta.
Sumber : Kosmo Online