Muhammad Khairul ketika ditemui di nurseri tanaman pokok bunga kertas diusahakannya di Kampung Chenderong Dalam, Batu Kurau.
Larut: Hobi peniaga pasar sehari menanam pokok bunga kertas ketika mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 yang lalu, berbaloi apabila kini dia menjalankan perniagaan berkaitan pokok bunga berkenaan secara serius bagi menjana pendapatan.
Muhammad Khairul Shafimie Md Akil, 30, berkata disebabkan sukar menjalankan perniagaan menjual buah-buahan serta barangan kosmetik di pasar sehari ketika PKP, dia memulakan hobi menanam pokok bunga kertas atau Bougainvillea.
Katanya, pokok kertas senang hidup dan mudah dijaga, selain senang melakukan kacukan bagi menghasilkan bunga dengan pelbagai corak dan warna mengagumkan. Melihat hasilnya, dia mula terfikir untuk menjadikan tanaman pokok kertas berkenaan sebagai sumber pendapatan.
“Masa PKP kami ‘down’ (murung) sedikit sebab tak boleh berniaga. Jadi, berbekalkan duit Geran Khas Prihatin (GKP) RM3,000 ketika itu, saya gunakan wang bantuan itu untuk tanam pokok bunga kertas. Saya beli pokok, anak benih dan kumpul ID ( identiti baka tanaman).
“Tumbuhan ini senang dijaga dan disemai, termasuk dengan hanya melalui keratan batang pokoknya untuk dibiakkan. Ada bunga kertas yang ID serta benihnya sukar didapati di negara ini dan untuk mendapatkannya, saya terpaksa berurusan melalui urus niaga dalam talian. Harganya lebih mahal berbanding yang biasa ditanam di negara ini,” katanya kepada BH.
Lebih menggembirakan bapa dua anak itu, apabila nurseri tanamannya yang terletak di Kampung Chenderong Dalam, Batu Kurau, kini mampu menjana pendapatan berlipat ganda.
Kursus enam bulan
Katanya, kursus itu diikutinya selama enam bulan di Pulau Pinang pada setiap hujung minggu. Hasilnya, dia berupaya meningkatkan pendapatan bulanan yang melebihi lima kali ganda, berbanding perniagaan diceburi sebelum ini.
Sebagai peserta program empowerNCER anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), dia diberi tunjuk ajar cara untuk operasi perniagaan dengan lebih baik dan bersistemati.
Malah, program empowerNCER itu juga menawarkan setiap peserta kit permulaan untuk perniagaan yang ingin dijalankan sesudah tamat program.
Katanya, walaupun kini fokus diberikan kepada aktiviti semaian pokok di nurseri, dia juga menjalankan perniagaan sampingan lain, termasuk khidmat sewaan lori.
Usaha meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan khususnya golongan B40 menerusi keusahawanan adalah antara aspirasi Pelan Pembangunan Strategik NCER yang selaras dengan satu daripada agenda pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah ‘flagship’ Koridor TVET Malaysia.
Sumber : Berita Harian Online