SEBAHAGIAN pengunjung yang hadir melihat jenis pokok paya bakau yang terdapat di Taman Paya Bakau Bandar Lumut.

Lumut: Hutan paya bakau adalah sejenis hutan yang terdapat di zon pasang surut tropika di sepanjang pantai dan dataran berlumpur.

Hutan paya bakau mempunyai ekosistem yang sangat unik kerana tumbuh-tumbuhan disesuaikan dengan keadaan masin dengan membuang garam daripada air.

Mana-mana kumpulan tumbuhan yang hidup di dalam air masin dan payau pantai diklasifikasikan sebagai hutan paya laut.

Hutan ini boleh dijumpai di seluruh dunia, tetapi kepelbagaian spesies terbesar terdapat di Asia Tenggara.

Taman Paya Bakau Bandar Lumut di sini, menghimpunkan pelbagai spesies pokok bakau seperti Berus Putih, Bakau Kurap, Bebaru, Bakau Minyak dan Tengar yang berperanan mengawal iklim.

Ekosistem hutan paya laut sebegini unik dan kompleks, dikenali sebagai asas penting untuk rantaian makanan laut.

Menyedari hal itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) membangunkan taman ekopelancongan ini sebagai usaha melestarikan alam serta meningkatkan kesedaran pemuliharaan ekosistem.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial MPM, Issamudin Ibrahim berkata, seramai 50,735 pengunjung direkodkan sejak pembukaan semula taman ekopelancongan itu pada 1 Disember 2021 hingga Mac lalu.

“Kemudahan seperti laluan utama ditambahbaik termasuk laluan mesra orang kurang upaya (OKU) dan menggantikan jambatan gantung serta pemasangan tanda nama spesis bakau yang ada di taman ini.

“Pengunjung boleh hadir setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang dengan cas serendah RM3 bagi dewasa, manakala kanak-kanak dan warga emas percuma.

“Selain itu, kita juga menjalankan kempen Jom Tanam Pokok Bakau yang bermula 7 Januari tahun lalu dan masih diteruskan sehingga kini pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum,” katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh melibatkan diri dan merasai sendiri pengalaman menanaman pokok bakau dengan cas yang dikenakan adalah RM 10.

Bersempena Tahun Melawat Perak 2024, beliau berkata, Taman Paya Bakau Bandar akan terlibat dalam Pesta Laut Pangkor Lumut yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.

“MPM akan mengadakan pengisian program pelancongan berasaskan pendidikan menerusi Treasure Hunt di taman berkenaan.

“Usaha berterusan ini diharapkan dapat memupuk sifat prihatin segenap lapisan masyarakat terhadap kepentingan memelihara kelestarian alam semula jadi khususnya hutan paya bakau,” katanya.

MPM selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) ialah antara peneraju segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara menerusi flagship Ekonomi Pengalaman dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.

Sumber : Harian Metro Online