Mohd. Anas mengusahakan ternakan unggas di ladangnya di Kampung Parit 19, Hutan Melintang, Bagan Datuk semalam.
BAGAN DATUK – Kemahiran menternak serta kebolehan menguruskan perniagaan yang baik menjadi antara faktor seorang usahawan ternakan unggas di sini terus melakar prestasi cemerlang dalam bidang tersebut.
Menurut Pengasas Penternakan Sumber Unggas Sdn. Bhd., Mohd. Anas Mohd. Asmawi, kemahiran tersebut bukanlah suatu yang wujud secara semula jadi, namun perlu diasah dari semasa ke semasa oleh seorang peniaga.
Katanya, dia bersyukur kerana di negeri ini, kerajaan negeri menyediakan banyak peluang kepada golongan sepertinya untuk meningkatkan kemahiran diri menerusi pelaksanaan program-program berkaitan bidang keusahawanan.
“Saya sendiri pernah mengikuti kursus berkaitan keusahawanan serta pengurusan perniagaan di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sejak 2019.
“Memang tak dapat dinafikan ia banyak membantu saya serta rakan-rakan usahawan yang lain dalam meningkatkan kebolehan menguruskan perniagaan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Anas berkata, kemahiran yang ditingkatkan itu sekali gus membolehkan perniagaannya yang diasaskan sejak 2016 untuk terus berkembang dan memberi peluang kepadanya untuk membuka beberapa cawangan di negeri ini seperti di Hutan Melintang dan Sungkai.
Dia yang pernah berkhidmat sebagai kakitangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberitahu, syarikatnya membekalkan ternakan seperti ayam kampung Arab dan burung puyuh kepada pengguna.
“Sebagai contoh, permintaan terhadap puyuh memang tinggi ketika ini dan ketika waktu puncak, saya pernah membekalkan kira-kira 25,000 ekor anak burung itu kepada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Perak juga memberi sokongan kepada golongan usahawan sepertinya, sebagai contoh membantu mempromosikan perniagaannya sewaktu dia menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
“Di sana mereka membantu perniagaan kami dengan menggantung poster di Pavilion Perak. Bahkan, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad juga mesra dengan golongan usahawan negeri dan kami sendiri pernah dikunjungi beliau pada November 2021 sebagai tanda sokongannya.
“Saya percaya apa yang dilakukan kerajaan negeri adalah sejajar dengan pelan Perak Sejahtera 2030 terutamanya dalam aspek sekuriti makanan kerana pembekal-pembekal ternakan seperti kami berupaya memenuhi permintaan pengguna di Perak,” katanya.
Tambahnya, kemahiran yang dimilikinya turut digunakan bagi membantu golongan usahawan lain kerana syarikatnya turut menawarkan kursus-kursus berkaitan, dengan kandungannya diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.
“Saya serta pakar-pakar lain dalam industri akan berkongsi ilmu berkaitan bidang ternakan seperti ayam serta lembu kepada usahawan-usahawan lain.
“Ia sekali gus memastikan perniagaan mereka terus berkembang sekali gus menjamin sekuriti makanan di negeri ini,” katanya.
Sumber : Kosmo Online