Norul Syafinas memerhatikan Mohd Adri menyampaikan bantuan beras menerusi program kebajikan yang dianjurkan perniagaan Kobis Bunga Bakery secara dwi bulanan.

PARIT BUNTAR: Prinsip berkongsi rezeki mendorong usahawan suami isteri menyalurkan sebahagian perolehan hasil jualan kek dan biskut yang diusahakan mereka kepada pelbagai aktiviti kebajikan dianjurkan sendiri, termasuk kelas mengaji al-Quran dikendalikan secara percuma.

Norul Syafinas Abu Bakar, 38, berkata selain itu perniagaan Kobis Bunga Bakery yang diusahakan bersama suami, Mohd Adri Adha Mohamad, 37, turut menyalurkan sebahagian hasil jualan kepada golongan memerlukan.

Antaranya program bagi membantu anak tak sah taraf dan wanita terlanjur menerusi Jualan Kek Amal Rumah Kita yang dianjurkan pada 2017 dan program pemberian 120 bungkus nasi lemak percuma yang diletakkan di hadapan premis mereka setiap hari.

Norul Syafinas berkata, konsep belian sambil beramal itu juga membawa kepada penganjuran program lain yang dilakukan secara berkala, antaranya sumbangan kepada sekolah, pertubuhan rumah kebajikan anak yatim, serta bantuan kepada mangsa banjir.

“Daripada hasil jualan setiap hari, kita akan memperuntukkan antara RM300 hingga RM400 sehari untuk program kebajikan yang akan dilaksanakan itu. Sebahagian daripada duit hasil jualan harian itu akan diasingkan terlebih dahulu untuk kita memberi (kebajikan) kepada orang.

“Kami juga suka bagi orang makan dan kalau ada rezeki lebih, kita akan masuk dan agihkan makanan ke kampung atau menghulurkan bantuan seperti beras, mi, telur, sayur dan sebagainya kepada yang memerlukan. Lazimnya, kita buat dua bulan sekali program sebegini dan kadang kala ia dilakukan secara usaha sama dengan pelbagai pihak seperti masjid,” katanya kepada BH.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, Kobis Bunga Holdings Sdn Bhd yang diterajuinya sejak 10 tahun lalu, kini menghasilkan 27 variasi kek membabitkan penghasilan sebanyak 150 kek sehari atau 4,500 kek sebulan dengan dibantu seramai 33 pekerja.

Katanya, pada 2023, hasil jualan perniagaannya mencatatkan sebanyak RM3.1 juta, sedikit menurun berbanding 2022 iaitu RM3.4 juta. Namun, Norul Syafinas dan suami sentiasa bersyukur dengan rezeki diperoleh mereka.

Katanya, hasil bantuan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membolehkan beliau kini memiliki sebuah kilang perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi penghasilan kek selain biskut.

“Saya mula membuat kek sejak menuntut di universiti lagi secara homemade. Apabila tamat pengajian saya sukar mendapat pekerjaan, lalu bekerja di hotel, resort dan kedai bakeri, dari situlah banyak pengalaman saya peroleh.

“Selepas itu saya mula membuat kek dan menjualnya di tapak ekspo dan bazar Ramadan sekitar Parit Buntar, sebelum ditawarkan untuk menyewa sebuah kedai di bangunan Arked MARA. Menerusi MARA saya memperoleh bantuan sebanyak RM70,000 selain RM200,000 pinjaman melalui agensi itu,” katanya.

Norul Syafinas berkata, Jabatan Pertanian pula menawarkan bantuan berjumlah RM10,000 bagi membeli peralatan dan kelengkapan termasuk dua peti sejuk; disusuli bantuan daripada FAMA beberapa bulan lalu.

“Bantuan menerusi FAMA adalah Geran Usahawan Agro berjumlah RM20,000 bagi membeli peti sejuk, papan tanda premis, mesin juruwang dan rak,” katanya turut mengakui pembabitannya bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selaku agensi kerajaan negeri juga banyak membantunya.

Menerusi pelan pembangunan negeri, pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia meletakkan Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai antara inti pati atau flagship di bawah sasaran 1 Keluarga 1 Usahawan serta 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi, dengan STeP sebagai antara agensi penerajunya.

Sumber : Berita Harian Online